Putrajaya kini fokus perbaiki program sasar subsidi diesel sahaja, Anwar respons kenyataan ‘kejutan’ Rafizi

Admin
d54b7a1c 6456 4e4b aa8b a642fa48b101 PERDANA Menteri (berbaju putih) dengan diiringi Ketua Menteri (berbaju batik biru) sempat merakamkan gambar dengan kumpulan yang membuat persembahan pentas sempena Majlis Perasmian Bangunan HASiL Pulau Pinang dekat Jelutong di sini pada 29 Jun 2024.

SUNGAI PINANG – Ketika ini, Putrajaya akan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dasar penyasaran subsidi diesel sahaja agar tidak menjejaskan rakyat yang memang memerlukan bantuan berkaitan.

Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim berkata demikian semasa mengulas kenyataan terbaru Menteri Ekonominya, Rafizi Ramli yang antara lain mengatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat makluman awal kepada umum berhubung sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95.

“Saya baca teks ucapan Rafizi bahawa kita (Kerajaan Persekutuan) tumpu soal (pelarasan subsidi) diesel.

“Yang perlu diteliti sama ada pelaksanaan (program penyasaran subsidi diesel berkesan, dan kalau ada dalam kalangan yang terjejas,” respons Menteri Kewangan berkaitan kepada pemberita seusai menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Hasil Pulau Pinang di sini pada 29 Jun 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin antara yang turut sertai sidang media tersebut.

Dua hari lepas, Rafizi dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan menggunakan strategi sama, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95.

Bercakap kepada pemberita di acara Forum Ekonomi Dunia dekat Dalian, Republik Rakyat China, Rafizi menyatakan demikian ketika ditanya jika langkah itu akan dilaksanakan pada tahun ini, dan pengumuman awal akan dibuat.

“Kita tidak akan dedahkan rancangan kita, seperti mana kita kejutkan semua orang dengan diesel.

“Sama seperti kita kejutkan semua orang dengan diesel, saya fikir ada satu lagi kejutan untuk orang ramai,” katanya seperti dipetik organisasi berita kewangan, Bloomberg.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR