PWCC ajak wanita rapatkan jurang ekonomi dan perniagaan melalui seminar

Admin

GEROGE TOWN  – Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC) melalui Presidennya, Datuk Annie Chin mengajak orang ramai khususnya wanita untuk menyertai seminar PWCC’S Inspiring Future Leaders Conference yang akan berlangsung pada 30 Mac ini.

 

Jelasnya, seminar selama sehari itu akan membariskan panel-panel ternama seperti mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Datin Paduka Rafidah Aziz, Pengarah Invest Penang, Datuk Lee Kah Choon dan ramai lagi.

“Tiket bagi seminar kini sudah 90 peratus terjual dan ternyata ia mendapat sambutan hangat.

“Justeru saya ingin menyeru orang ramai yang berminat, segeralah membeli tiket ‘kombo 10’ tawaran istimewa iaitu RM260 setiap satu, manakala ‘kombo lima’ (RM280 setiap satu) berbanding harga biasa RM300,” ujar beliau dalam satu sidang media pengumuman di Komtar hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Menurut Annie, pembelian tiket tersebut termasuk majlis makan malam sejurus tamat seminar tersebut nanti.

Dalam pada itu, Chong Eng ketika berucap memuji usaha PWCC bagi merapatkan jurang dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan ekonomi kaum wanita dengan kaum lelaki.

“Jurang antara lelaki dan wanita dalam bidang ini masih lagi jauh, begitu juga dalam bidang politik, justeru usaha PWCC ini wajar mendapat pujian.

“Wanita di luar sana wajar merebut peluang ini dengan harga yang amat berpatutan di samping menimba ilmu dari panel-panel jemputan yang hebat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Seminar tersebut akan berlangsung di G Hotel dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bagi yang berminat, sila hubungi Timbalan Presiden PWCC, Kristine Leong di talian 012-4767076 atau e-mel di [email protected].

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN