PWCC bakal galak pertumbuhan ekonomi mampan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Projek pembinaan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) bernilai RM346 juta bakal menjadi mercu tanda penting dalam sektor perniagaan dan pelancongan sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation (IJM) Berhad, Datuk Teh Kean Ming berkata, kerja-kerja pembinaan PWCC akan bermula pada 2013 dan dijangka siap menjelang 2017.

“PWCC adakah projek perkongsian antara IJM bersama Suntec International (Suntec), salah sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan pusat-pusat konvensyen.

“Malah, PWCC bakal menjadi mercu tanda serta destinasi alternatif pilihan pelabur selain Kuala Lumpur, Bangkok, Thailand, Singapura dan Hong Kong,” ucapnya pada Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara IJM dan Suntec di sini baru-baru ini.

PWCC yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada projek The Light fasa dua yang bukan sahaja mempunyai pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, malah, turut mempunyai tiga buah hotel, pusat membeli-belah, lot-lot perniagaan, kediaman dan kemudahan marin.

“Perkongsian (antara IJM dan Suntec) akan menyaksikan Suntec terlibat dalam aspek merekabentuk PWCC, pemasaran dan promosi serta pengurusan operasi PWCC.

“Dan perkongsian ini juga mampu menarik minat para pelabur sekaligus meningkatkan jumlah pelaburan negeri dan pembangunan ekonomi serta sosial di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, PWCC akan dibangunkan di atas tanah yang ditambak berdekatan Jambatan Pulau Pinang berkeluasan 41.2 hektar bernilai RM5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suntec Pulau Pinang, Arun Madhok yang mewakili Suntec dalam majlis menandatangai perjanjian persefahaman berkata, ruang legar arena PWCC berkeluasan 10,000 kaki persegi mampu memuatkan hampir 9,000 kerusi untuk satu-satu konsert bertaraf antarabangsa.

“Projek PWCC akan diterajui oleh firma arkitek terkemuka dunia, Vx3, yang merekabentuk ibu pejabat NATO di Brussels dan Hong Kong Convention Centre di Victoria Harbour.

“Melalui pengalaman lebih 17 tahun dalam pemasaran, pengurusan dan operasi, Suntec akan mengambil alih pengurusan dan operasi PWCC setelah siap kelak,” ujarnya di sini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut hadir menyaksikan majlis bersejarah berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan PWCC sebagai salah sebuah pusat MICE (Meetings, Incentives, Conventions and Exhibitions) bertaraf dunia dan terkemuka.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Soam Heng Choon.

Soam Heng Choon (kanan sekali) dan Arun Madhok (kiri sekali) bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan Ketua Menteri dan Teh Kean Ming pada Majlis Memeterai MoU antara IJM dan Suntec di sini baru-baru ini.
Soam Heng Choon (kanan sekali) dan Arun Madhok (kiri sekali) bertukar-tukar
dokumen sambil disaksikan Ketua Menteri dan Teh Kean Ming pada Majlis
Memeterai MoU antara IJM dan Suntec di sini baru-baru ini.