PULAU BETONG – Menganggap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai ‘perang’, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berharap lebih ramai lagi wanita ambil bahagian dalam aktiviti berkaitan politik serta proses membuat dasar kerajaan demi menyelamatkan maruah negara.
Menurut beliau, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah untuk menggembleng bakat serta suara wanita muda dan kaum ibu ke arena arus perdana.
“Kalau dahulu anak-anak anda menyertai sidang muda, kini giliran anda pula di peringkat ibu-ibu dan wanita, Kerajaan Negeri menubuhkan PYDC dan PWDC untuk mengangkat suara wanita dan anak muda.
“Waktu kempen PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), di Juru, saya nampak di depan ceramah saya ramai makcik-makcik, ini suatu senario yang jarang saya lihat… saya memikirkan jika ibu-ibu keluar yang biasa duduk di rumah (melibatkan diri dalam aktiviti) protes, kalian akan sedar negara kita dalam bahaya.
“(Sidang Wanita Pulau Pinang) ini bukan suatu program untuk saya cakap berlapik di sini, ini adalah suatu ‘peperangan’.
“Untuk menunjukkan kami (Pakatan Harapan Pulau Pinang) serius, saya bukan selama-lamanya akan menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan, suatu hari ini saya perlu serahkan ‘baton’, saya benar-benar ikhlas nak menyerahkan ‘baton’ kepada seorang wanita juga.
“Andai kalian berfikir politik Malaysia begitu kotor, jika kalian berasa tanah air ini perlu diselamatkan, jika kalian tidak pasti anak-anak kalian selamat atau tak pada generasi akan datang, kalian perlu bertindak berdasarkan perkara yang kalian ingini,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama dalam Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 di Dewan Prince of Wales International School, Balik Pulau di sini pada 5 September 2020.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; dan ADUN Seri Delima, Syerleena Abd. Rashid merupakan tiga panelis dalam sesi perkongsian wakil rakyat pada pagi tadi.
Turut serta, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim.
Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng memberitahu bahawa penganjuran Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 dekat Balik Pulau adalah siri jerayawara yang pertama di peringkat Daerah Barat Daya; diikuti Daerah Timur Laut pada sebelah petang ini; seterusnya pada hari esok di Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.
Menurut beliau, seramai 2,445 menyertai jerayawara pada kali ini, dengan 100 pemimpin terbaik akan disaring ke program selanjutnya.
“Daripada 100 pemimpin wanita yang dipilih ini, kemudian, 40 orang akan disaring untuk Sidang Wanita Utama yang akan dipengerusikan oleh Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) sendiri.
“Wanita, jangan kata ke duduk di belakang, tetapi kena duduk di depan…”
“Di seluruh Malaysia, Pulau Pinang adalah yang pertama, tak ada lagi Sidang Wanita seumpama ini,” ujarnya.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga & Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng kerana komited dalam merealisasikan agenda memartabatkan gender wanita negeri menerusi PWDC.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI