DATUK KERAMAT – Bertemakan ‘Wanita Jana Rezeki’, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) hari ini menganjurkan sesi ‘market testing’ di Pusat Harmoni dekat sini.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memberitahu bahawa tujuan penganjuran program itu antara lain demi membantu para usahawan wanita terpilih dalam kelompok sektor isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) memasarkan produk makanan jenama lokal mereka.
“Kebanyakan usahawan wanita ini mempunyai produk makanan yang berpotensi untuk dipasarkan, tetapi kurang mendapatkan peluang untuk meluaskan jaringan pemasaran mereka.
“Sehubungan itu, kita berharap program seumpama ini boleh menjadi satu lagi sistem sokongan bagi wanita menjana rezeki setelah sekian lama mengharungi pandemik COVID-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang di dewan seminar dekat Pusat Harmoni di sini pada 18 Disember 2021.
Menurut beliau, menerusi program seumpama ini kedua-dua agensi negeri iaitu PWDC dan Pusat Harmoni dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10 usahawan wanita dalam industri makanan lokal, tiap-tiap tahun.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng memberitahu Buletin Mutiara bahawa kelompok kedua yang menyertai program pada kali ini melibatkan 18 peserta usahawan wanita serta 27 produk makanan lokal dari beberapa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim serta sekalian petugas PWDC, Pusat Harmoni dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang terlibat dalam menjayakan program kolektif tersebut.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB