GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menganjurkan pameran kerjaya secara maya pada 26 hingga 29 Ogos ini dengan menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.
Pameran bertemakan ‘Explore, Connect and Get Hired’ itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Colla Team by Big Domain.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa penganjuran pameran tersebut adalah bertujuan membantu memadankan para pencari kerja dengan majikan yang sesuai.
“Saya percaya penganjuran pameran ini adalah tepat pada masanya dan akan menjadi kunci untuk menghidupkan semula ekonomi negara apabila keadaan kembali pulih kelak.
“Ia juga akan mewujudkan penyelesaian menang-menang untuk pencari kerja dan pihak majikan sambil menyesuaikan diri dengan amalan normal baharu.
“Selain itu, inisiatif ini juga penting untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam memenuhi keperluan seharian mereka,” katanya semasa melancarkan pameran tersebut secara maya, semalam.
Turut serta, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling; Ketua Zon, Sistem Insurans Pekerjaan, Pejabat PERKESO Pulau Pinang, Mohamed Zulhabri Abdul Halim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Fahmi Zainol dan Ketua Pegawai Eksekutif Big Domain, Henry Tye serta beberapa wakil syarikat yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Sai Ling memberitahu bahawa sebanyak 56 syarikat terkemuka di negeri ini bakal mengambil bahagian dalam pameran tersebut, antaranya ViTrox Corporation Berhad, Hotayi, Flex, Osadi, Keysight Technologies, PLEXUS dan banyak lagi.
“Pameran selama empat hari ini akan menampilkan 56 syarikat terkemuka yang menawarkan kira-kira 4,443 kekosongan jawatan untuk sepenuh masa, latihan praktikal dan pekerja separuh masa.
“Ini menunjukkan bahawa pasaran pekerjaan di Pulau Pinang masih lagi dinamik walaupun banyak industri kita terjejas dek pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu.
“Malah, berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dilaporkan bahawa jumlah siswazah yang menganggur di negara ini telah meningkat sebanyak 22.5 peratus iaitu daripada 165,200 pada 2019 kepada 202,400 orang pada tahun ini.
“Justeru, saya percaya pameran ini bakal menjadi platform paling sesuai untuk memadankan majikan dan calon bagi merapatkan jurang antara permintaan dan penawaran dalam pasaran pekerjaan di negeri ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, PYDC juga akan menganjurkan satu lagi program yang dikenali sebagai ‘Career Readiness Workshop’ pada 21 Ogos hingga 22 Ogos ini melalui aplikasi Zoom.
“Bengkel ini akan dikendalikan oleh penceramah profesional dan ceramah kerjaya akan diberikan oleh para profesional daripada pelbagai latar industri.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pencari kerja terutamanya graduan lepasan ijazah dan mahasiswa yang akan menjalani latihan praktikal untuk merebut peluang ini,” tambahnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN