PYDC berjaya rekrut 2,732 Sukarelawan Belia Pulau Pinang – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) setakat 31 Oktober 2022 berjaya merekrut seramai 2,732 orang sukarelawan.

Daripada jumlah itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa 1,452 adalah lelaki manakala 1,280 wanita.

Mengikut kategori kaum pula, Lip Chee menjelaskan bahawa 1,316 orang Sukarelawan Belia Pulau Pinang berkenaan adalah Melayu, Cina (1,078) , India (298) dan lain-lain (40).

“Pelbagai program pemerkasaan sukarelawan belia juga telah dilaksanakan bagi meningkatkan pendedahan serta memperkasakan lagi kemahiran sukarelawan belia… (seperti) Program Bahasa Isyarat Malaysia Life-Saving First Aid Skills; Program; First Aid Webinar Youth Eco Generation Campaign; Bengkel Pengurusan dan Teknik Penebangan Pokok; Latihan Asas Keselamatan Kebakaran serta Kursus Latihan Kemahiran Survival Kem.

“(Usaha merekrut sukarelawan juga turut dilakukan melalui) program secara dalam talian seperti Sesi Perkongsian dalam Talian Dari Mahasiswa Untuk Masyarakat (sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa) dan juga Program Dalam Talian Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) & Automated External Defibrillator (AED),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Lip Chee menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan bertulis ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 23 November 2022.

Buletin Mutiara difahamkan, PYDC turut merancang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sekalian Sukarelawan Belia Pulau Pinang melalui Program Disaster Drill; Program Praktikal bantuan pernafasan kecemasan (CPR) menggunakan mesin Automated External Defibrillator (AED); Program Kepimpinan; dan Program Asas Keselamatan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI