PYDC buka peluang belia sertai program sukarelawan negeri

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) hari ini membuka peluang kepada golongan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun untuk menyertai program kesukarelawan belia, Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang atau Penang Youth Volunteer (PYV).

 

Exco Belia Dan Sukan, Soon Lip Chee ketika mengumumkan perkara tersebut pada sidang media di Komtar tengah hari ini berkata, dalam membina masyarakat yang progresif pada hari ini, pembangunan belia amat penting.

 

“Inisiatif ini adalah selaras dengan strategi yang terkandung dalam Visi Penang2030 di bawah Tema C2 yang mana menekankan penglibatan belia dalam program-program kemasyarakatan dan kesukarelawan.

 

Malah, amalan kesukarelawan mempunyai potensi besar untuk membawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ke arah kesejahteraan hidup bersama.

 

“Oleh demikian, ayuh sama-sama kita membantu meningkatkan potensi golongan belia dengan menggalakkan mereka menyertai program Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang ini,” katanya kepada pemberita.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang selaku Ahli Lembaga Pengarah PYDC; Pengarah PYDC, Lee Wei Seang dan Pengurus Besar PYDC,Thoy Siew Ping.

 

SOON Lip Chee.

Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian.

 

“Semasa mengisi borang, para sukarelawan boleh memilih untuk terlibat dalam kategori yang ditawarkan seperti seni, budaya, pendidikan, sukan, kerja amal, alam sekitar, bantuan bencana dan pertolongan cemas,” jelasnya.

 

Ditanya mengenai sasaran penyertaan, Lip Chee berkata, sebagai permulaan antara 300 hingga 500 penyertaan disasarkan dan berharap mencapai 20,000 penyertaan belia menjelang tahun 2030.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) juga telah panjangkan perkara ini kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai program ini.

 

“Bukan itu sahaja, PYDC turut membuka peluang kepada individu kurang upaya (OKU) untuk menyertai program ini. Hal ini kerana, semua lapisan rakyat layak menyumbang terhadap pembangunan negeri tanpa mengira latar belakang yang berbeza,” jelasnya.

 

Bagi yang berminat untuk menyertai program Sukarelawan Belia Negeri Pulau Pinang, boleh mengisi borang di pautan  http://bit.ly/penangyouthvolunteer atau melalui emel [email protected] atau melalui talian 012-401 0186 atau 04-263 6111.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING