PYDC tumpu usaha pemadanan kerjaya babit belia luar bandar – Soon Lip Chee

Admin
(Dari kiri, duduk) LAY Hock Peng, Soon Lip Chee dan Dr. Gwee Sai Ling dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) terus memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan muda terutama di kawasan luar bandar untuk memburu kerjaya yang sepadan.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu perkara itu kepada pemberita sebelum menyempurnakan acara perasmian pembukaan Malam Belia dan Sukan sempena Karnival Hari Raya Aidilfitri 2022 di Pusat Eko Pelancongan Seberang Perai Utara (SPU) di sini sebentar tadi.

SOON Lip Chee menyampaikan ucapan perasmian ‘Malam Belia dan Sukan’ di Pusat Eko Pelancongan SPU, Pinang Tunggal pada lewat petang tadi.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada satu laporan media arus perdana yang mendedahkan bahawa statistik pekerja Malaysia ke Singapura menunjukkan peningkatan daripada 195,072 orang pada tahun 1990 kepada 952,261 orang pada 2019.

“Dianggarkan kira-kira 200,000 (warganegara) berhijrah ke Singapura disebabkan pekerjaan dan skim gaji yang ditawarkan di negera tersebut dikatakan lebih menarik berbanding di tanah air ini.

“Walhal, kita (Kerajaan Negeri) mahu semua bakat ini kekal di tanah air tercinta.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui PYDC berusaha membawa lebih 20 majikan untuk mencari belia yang berminat untuk menyertai sesi temuduga secara fizikal.

“Kita (PYDC) akan terus memperkasakan platform ‘We Want You’ terutama di kawasan-kawasan luar bandar untuk membantu majikan mencari bakat, begitu juga golongan belia untuk mencari peluang pekerjaan yang sepadan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Karnival Hari Raya Aidilfitri 2022 yang dianjurkan sejak 7 Mei lepas akan melabuh tirai dengan persembahan acara pentas dan sebagainya pada Khamis ini, dengan tujuan khusus untuk mempromosi Pusat Eko Pelancongan SPU serta pelbagai hasil pertanian berupa buah-buahan dan sayuran-sayuran tempatan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB