KUCHING – Atlet olahraga negeri Muhammad Sayyid Amin Roslan, muncul pemenang pingat emas dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 menerusi acara 200 meter (m) lelaki.
Dalam acara yang berlangsung di Stadium Sarawak semalam, Muhammad Sayyid Amin Roslan berjaya nenewaskan lapan lagi pencabar dengan catatan masa 21:23 saat.
Atlet dari Johor, Danish Iftikhar Muhamamad Roslee terpaksa akur dengan memperoleh pingat perak selepas berkongsi catatan masa 21:23 saat, manakala pingat gangsa menjadi milik atlet dari Sabah, Pangiran Aidil Auf Haj dengan catatan masa 21:60 saat.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhammad Sayyid Amin, 17, berkata dia sememangnya menyasarkan pingat emas bagi acara 200m dengan melakukan persiapan yang rapi sebelum temasya Sukma berlangsung.
“Untuk pencapaian hari ini saya rasa berpuas hati walaupun bukan apa yang saya sasarkan, tapi masih baik terutama dengan keadaan hujan.
“Tidak semua yang kita rancang akan berjalan lancar, tetapi Alhamdulillah, Allah dah susun sesuatu yang terbaik untuk saya, teruskan sahaja dan nikmati apa yang dikurniakan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian itu lagi.
Muhammad Sayyid Amin berkata, dia mula terlibat dalam acara larian sejak berumur 12 tahun dan berhasrat untuk menjadi atlet pelapis negara dalam sukan olahraga (balapan).
“Saya mahu mengikuti jejak langkah Mohd. Azeem Fahmi (atlet pecut negara) kerana kekuatan mental beliau yang membolehkan beliau memenangi setiap kejohanan dan berjaya sampai ke olimpik (Paris 2024).
“Saya ingin jadi seperti beliau suatu hari nanti,” katanya sambil menambah bahawa dia turut menjadikan pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, Noah Lyles sebagai idola.
Hari ini, Muhamamd Sayyid Amin akan turun sekali lagi untuk beraksi dalam acara 400m.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR