Raintaian penghasilan makan perlu patuhi standard elak penyakit bawaan makanan

BATU UBAN – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol mahu penyediaan makanan bermula dari awal rantaian sehingga ke meja pelanggan perlu menitikberatkan aspek kesihatan.

 

 

Katanya, perkara tersebut amat penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan makanan selain melindungi kesihatan pengguna pada peringkat global.

 

 

“Besarlah harapan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing untuk mengguna pakai dan berpegang kepada standard makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula pada peringkat pengeluaran hingga ke meja hidangan.

 

 

“Keadaan ini seterusnya dapat membantu mengurangkan penyakit bawaan makanan.

 

 

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan amat menitikberatkan usaha memperkukuh keselamatan makanan.

 

 

“Ini termasuk memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat serta mematuhi standard atau perundangan keselamatan makanan yang telah ditetapkan dalam Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” ujar Fahmi pada Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Seminar Keselamatan Makanan Zon Utara dekat Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi.

 

 

 

Hadir sama, Pengarah JKNPP, Dr. Fazilah Shail Allaudin; wakil Timbalan Naib Canselor (Pengarah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin; Timbalan Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Rafeah Sibil dan tetamu-tetamu undangan lain.

 

 

 

Justeru, Fahmi mahu peniaga atau pengendali makanan mengamalkan pengendalian makanan yang baik serta menitikberatkan aspek kebersihan yang jugak tertakhluk di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

 

 

“Suka untuk saya mengajak semua pihak memilih premis berkualiti yang dapat menyediakan atau mengeluarkan makanan yang bersih, selamat dan berkualiti.

 

 

 

“Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu mengambil sikap berhati-hati dan prihatin apabila memilih makanan dan premis makanan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

 

 

 

Pada majlis sama, penyampaian hadiah bagi Pertandingan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat melibatkan kategori Medan Selera di Institut Pengajian Tinggi Awam turut diadakan.

 

 

 

Pertandingan tersebut melibatkan elemen penilaian kebersihan premis makanan berasaskan risiko, keselamatan makanan, pemakanan sihat serta kreativiti.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD