Rakyat bawahan sengsara dek isu perkauman ahli politik ‘atasan’ – Anwar

Admin

GEORGE TOWN – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat yang berbilang etnik untuk menguatkan lagi muafakat bersama dengan menolak politik perkauman yang kembali disemarakkan oleh pihak-pihak tertentu kebelakangan ini.

Tanpa menyebut secara jelas mengenai golongan ‘atasan’ yang sedang menyemarakkan isu perkauman, Anwar berharap rakyat di semua peringkat seharusnya lebih matang.

“Setelah berlaku perubahan, apabila ahli politik ini terdesak, apabila ahli politik telah hilang akar sokongan mereka, dia guna isu kaum.

“(Rakyat) yang bergaduh di bawah, yang di atas terus kaya dan merebut kuasa.

“Saya nak beritahu rakyat, kita terpengaruh dengan cara ini (permainan politik perkauman), nasib kita (rakyat bawahan) tidak pernah berubah.

“Kita bergaduh di bawah, pemimpin ‘atasan’ baik Melayu atau Cina atau India, dia gabung, cari kuasa, cari harta, (marhaen) yang di bawah ini yang sengsara.

“Sebab itu, rakyat harus matang dan dewasa,” ucapnya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson di pentas utama dalam Majllis Rumah Terbuka PKR Peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama dekat sini pada 31 Januari 2020.

Turut berucap, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang dan Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan; Lim Kit Siang (Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor); Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunos; dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Senator Datuk Marzuki Yahya yang juga Timbalan Menteri Luar antara pemimpin Pakatan Harapan yang menyertai majlis pada hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy turut hadir pada majlis tersebut.

Acara kemuncak adalah Anwar bersama-sama barisan pemimpin Pakatan Harapan lain menyempurnakan sesi kaligrafi dalam tulisan Jawi, Cina, Tamil dan Rumi yang membawa mesej muafakat bersama dalam mengukuhkan perpaduan rakyat yang berbilang kaum, selain adat mengaul yee sang yang menjadi tradisi etnik Cina sempena menyambut Tahun Baru Cina.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anwar turut memberi respons terhadap hasrat Perdana Menteri Ke-7 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan kembali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dirujuk pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Itu, biar mereka (Ahli Jemaah Menteri) bincang dalam Kabinet (Malaysia),” respons kepada pemberita, sebelum meninggalkan majlis, tadi.

Pada tahun 2009, PKR pernah membantah pelaksanaan PPSMI sehingga dimansuhkan di sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun 2012.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD