Rakyat diseru terus bersatu dan berjuang kekalkan status negeri sebagai zon Hijau

Admin

KEBUN BUNGA – Seluruh rakyat Pulau Pinang diharap terus bersatu dan bersama-sama berjuang bagi mengekalkan status negeri sebagai zon Hijau selepas Fasa 2 dan Fasa 3 Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang bermula.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, rakyat terbanyak perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu, mengikut arahan, mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan menghindari tempat sesak.

“Semua ini harus kita praktikkan dalam kehidupan normal baharu, masyarakat perlu menyesuaikan diri dengannya, kerana kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku selepas Fasa Pembiasaan (8 hingga 12 Mei) dan Fasa Pembukaan (13 Mei seterusnya) kelak.

“Semua orang harus memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, kita mampu mengawal serta melakukannya, berlainan dengan ekonomi global… ia adalah di luar kawalan.

“Teruskan bersatu dan berjuang bersama-sama untuk menghentikan penyebaran virus COVID-19, sekaligus terus mengekalkan status Pulau Pinang sebagai zon Hijau,” seru beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada majlis penyampaian barangan sumbangan makanan asas kepada 30 penduduk terpilih di Pepper Estate dekat sini tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING