Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD
PERMATANG PASIR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man menggesa masyarakat di sini supaya menolak politik perkauman yang diketengahkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di negeri ini.
Gesaan itu dibuat ekoran beberapa kenyataan sebelum ini yang dilihat sengaja mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang kaum di sini.
Menurut Mohd. Salleh, rakyat di negeri ini dapat membezakan antara yang baik dan buruk dalam menerima sesuatu kenyataan dinyatakan.
“Seruan berbentuk perkauman ini adalah tidak bagus kerana menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan curiga-mencurigai dan bukan bersikap tolong-menolong.
“Isu yang lebih perlu dititikberatkan adalah kenaikan harga barang yang menimpa semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir di sini baru-baru ini.
Turut hadir memeriahkan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Lembaga Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya senada dengan Mohd. Salleh berhubung menolak politik perkauman sempit yang dibawa oleh pihak tertentu di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) melalui wakil rakyatnya di sini telah berjaya membuktikan isu perkauman yang dibawa tidak menjejaskan keharmonian penduduk setempat.
“ADUN Permatang Pasir telah membuktikan untuk dua penggal berturut-turut, beliau sebagai wakil rakyat untuk semua kaum.
“Kehadiran penduduk berbilang kaum pada malam ini turut menunjukkan isu-isu perkauman yang dibawa adalah tidak relevan di negeri yang menghormati hak semua kaum,” tegas beliau.
document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);