Rakyat pilih perpaduan demi majukan negara – Kon Yeow

Admin

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semangat perpaduan dan suasana harmoni yang terjalin di Pulau Pinang dapat dikekalkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

 

 

Menurut beliau, semangat perpaduan yang ditonjolkan pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) lalu merupakan satu pilihan tepat untuk memajukan negara dan negeri ke hadapan.

 

 

“Kita telah memilih perpaduan agar boleh majukan negara kita, kita tidak pilih perpecahan sebab ia (perpecahan) tidak membawa kita ke mana-mana, sebaliknya hanya akan membantutkan usaha dalam memajukan negeri Pulau Pinang.

 

 

“Di sini, saya ingin menzahirkan rasa gembira kerana komuniti Jelutong dapat bersama-sama di bawah satu payung perpaduan yang dipilih sebagai jalan ke hadapan dan tidak memilih perpecahan yang akan membawa kita ke belakang,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Khalifah Jelutong bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jelutong dan Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong; R.S.N. Rayer; Ketua Cabang PKR Jelutong, Johari Kassim; Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Khalifah Jelutong, Ali Mubarak dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dalam pada itu menzahirkan rasa syukur kerana rakyat Pulau Pinang berjaya mengharungi tiga tahun mencabar ketika negara dilanda krisis kesihatan akibat COVID-19.

 

 

“Kita bersyukur dalam tiga tahun yang amat mencabar tersebut, dengan semangat kerjasama yang  dipimpin Kerajaan Negeri, kita dapat tangani COVID-19 dengan sebaik-baiknya melalui  program vaksinasi demi kesihatan rakyat.

 

 

“Walaupun terkesan akibat COVID-19, ekonomi Pulau Pinang terus berkembang dalam sektor industri serta pembuatan yang seterusnya meraikan kecemerlangan.

 

 

“Malah, kita juga bersyukur yang mana sektor paling terkesan iaitu pelancongan semakin pulih dan dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada  rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Siew Khim dan Rayer pada majlis sama turut berucap dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Khalifah Jelutong yang banyak memainkan peranan dalam isu kebajikan masyarakat.

 

 

Pada kesempatan sama, Rayer turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada persatuan berkaitan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR