Rakyat tentu kejayaan & kemakmuran negeri – KM

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BATU UBAN – Kejayaan dan kemakmuran sesebuah negeri bergantung kepada rakyat dan bukannya atas sesebuah kerajaan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya ketika hadir merasmikan Penang Economic Conference (PEC) di sini baru-baru ini.

Tegasnya, Pulau Pinang mestilah berupaya memenuhi tiga ‘pilihan’, iaitu menjadikan persekitaran pilihan bagi penduduk, destinasi pilihan untuk pelancong dan lokasi pilihan bagi pelabur dalam menubuhkan sesebuah perniagaan.

“Kualiti hidup di Pulau Pinang tidak harus hanya untuk orang kaya tetapi juga untuk semua yang hidup dan tinggal di Pulau Pinang.

“Perumahan berkualiti, pengangkutan awam yang cekap dan berkesan, kawasan persekitaran hijau, bersih dan sihat untuk semua, kesenian dan kebudayaan yang meriah serta warisan terjaga,” ucapnya pada Majlis Perasmian PEC di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon, Pengurus Besar iP, Loo Lee Lian, Pengurus Besar Penang Global Tourism (PGT), Ooi Geok Ling, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan barisan eksekutif Kerajaan Negeri.

Turut serta penceramah dari Singapura, Profesor Tan Kong Yam, George Yeo dan Dr. Ooi Kee Beng, Datuk P.Y. Lai (China), Cheah Cheng Hye (Hong Kong) dan dari Sayuri Shirai (Jepun).

Tambah Guan Eng, penekanan terhadap rakyat bermakna Kerajaan Negeri percaya bahawa sesebuah kerajaan tidak boleh maju dan berkembang jika wanita, etinik minoriti, golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) tersekat daripada menyertai ruang ekonomi dan demokrasi.

“Kerajaan mengutamakan rakyat memerlukan kekuatan untuk meneruskan usaha membasmi kemiskinan, diskriminasi, rasuah dan kronisme yang jelas merupakan kepentingan dan keuntungan peribadi dan bukannya untuk kelebihan orang awam.

“Saya percaya bahawa Paradigma Pulau Pinang adalah model yang berwawasan dan bersejarah untuk membolehkan Pulau Pinang menerajui pembangunan negara ini.

“Kita boleh menjadikan Pulau Pinang nombor satu di Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang seimbang dan negeri pintar bertaraf antarabangsa,’’ jelas beliau.

Guan Eng memberitahu, menjadikan Pulau Pinang nombor satu di Malaysia adalah tidak mustahil sekiranya semua bersamasama rajin dan berusaha merealisasikannya.