GEORGE TOWN – Bulan Ramadan disifatkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai salah satu tonggak penting dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama khususnya di Pulau Pinang.
Menurut beliau, melalui bulan Ramadan, akan wujudnya bazar Ramadan yang sudah menjadi tradisi hidup bermasyarakat di Malaysia.
“Seperti semua sedia maklum juga, bazar Ramadan merupakan satu tradisi unik yang hanya dianjurkan pada bulan mulia ini sahaja.
“Selain menjual pelbagai juadah, ia juga memberi peluang kepada semua kaum yang ada di negara kita serta pelancong luar untuk sama-sama mengenali budaya serta cara hidup bermasyarakat di sini.
“Ini terbukti apabila kita dapati ramai orang bukan Islam termasuk pelancong asing turut mengunjungi dan memeriahkan bazar-bazar Ramadan yang terdapat di Malaysia, ini secara tidak langsung mampu menjernihkan isu-isu berkaitan sensitiviti kaum serta agama,” ujarnya sempena Perasmian Bazar Ramadan Prangin Mall di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengerusi Penganjur Bazar Ramadan Prangin Mall, Uu Ban Lee; Pengurus Besar ADABI, Chan Chun Keat dan Pengerusi Masjid Jamek Perangin, Aznan Abdul Mutaliff.
Sebagai sokongan juga, Kon Yeow mengumumkan peruntukan masing-masing bernilai RM200 kepada 80 pemilik gerai di bazar berkaitan.
“Sedikit sumbangan kepada para pemilik gerai dan adalah diharapkan perniagaan pada tahun ini akan mendatangkan hasil yang baik,” ujarnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD