Rancang pertandingan libat gerai makanan, perbaharui tarikan sedia ada

Admin

GEORGE TOWN- Kerajaan Negeri kini sedang memperhalusi  perancangan untuk mengadakan pertandingan melibatkan gerai-gerai penjaja pelbagai kategori yang mana ia bakal diundi menerusi aplikasi telefon pintar.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan mempromosikan makanan popular tempatan yang mana ia juga sentiasa menjadi sebahagian daripada tarikan negeri ini dan juga perlu diperbaharui.

 

“Contohnya, sekiranya anda suka mi sotong Padang Kota, orang ramai boleh imbas paparan dan undi. Dalam kategori ini (mi sotong), mungkin terdapat lima hingga 10 gerai, justeru, dari sini gerai yang menerima undian terbanyak akan dipilih.

 

“Ini juga merupakan sebahagian daripada langkah mempromosikan makanan, kita tidak lagi boleh tinggal dalam satu kedudukan dan cuma mengharapkan pada char kuetiau, nasi kandar dan lain-lain, perlu selari untuk memberi tambah nilai bagi membantu peniaga melariskan jualan mereka,” ujarnya bersempena Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2022 Anjuran Liga Muslim Pulau Pinang dekat Lebuh Queen di sini hari ini.

 

Hadir sama, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Najmudeen Kadeer; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Pengerusi Bazar Ramadan Liga Muslim, Dato’ Mohd. Sulaiman Hajah Mydin dan Ahli-ahli Jawatankuasa Liga Muslim.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap agar memasuki fasa peralihan endemik, kemeriahan bazar Ramadan akan dapat dikembalikan seperti sebelumnya.

 

“Sebagai Kerajaan Negeri, melalui agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu jadi pemudahcara untuk penganjuran bazar Ramadan yang menjadi tradisi.

 

“Saya difahamkan bahawa lebih 50 permit bazar Ramadan telah dikeluarkan tahun ini, kira-kira 20 di bahagian pulau dan Seberang Perai (lebih 30).

 

“Penganjuran seperti ini mampu juga memberi kesempatan kepada lain-lain kaum untuk mendekati serta memahami amalan umat Islam sepanjang bulan Ramadan ini sehingga tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Najmudeen dalam pada itu turut menzahirkan hasrat menjenamakan semula Bazar Ramadan  Liga Muslim untuk dinaik taraf dari segi pembungkusan dan penyediaan makanan agar ia lebih menarik.

 

Antara makanan yang menjadi tarikan di Bazar Ramadan Liga Muslim termasuk nasi beriyani, aneka kuih-muih India Muslim, nasi kandar dan kudap-kudapan pembuka selera lain.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : ALISSALA THIAN