BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah meluluskan Rancangan Pelan Induk 2021-2025 bagi melaksanakan 14 projek perintis Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMMPg) serta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di negeri ini.
Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Permatang Tinggi di sini pada 26 Julai 2023.
Kata Ahli Parliman Batu Kawan itu lagi, kesemua projek perintis tersebut akan menyediakan kira-kira 32,992 unit RMM yang terdiri daripada 4,066 unit RMM A, 8,326 unit RMM B dan 20,600 unit RMM C.
“Usaha menyediakan RMM secukupnya bukan hanya pada angka tetapi turut memberi penekanan kepada aspek kualiti dan persekitaran yang mempengaruhi daya huni komuniti.
“Jadi, besarlah harapan saya untuk melihat kemajuan yang sama terhadap projek RMM Permatang Tinggi ini juga dilengkapi dengan fasiliti yang setanding dengan kejiranan ‘guarded and gated’ lain,” jelasnya.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa Projek RMM Permatang Tinggi atau sebelumnya dikenali sebagai Kampung Tongkang adalah projek atau produk kedua yang dilaksanakan di negeri ini.
Projek pertama LPNPP sebelum ini adalah RMM Bukit Gedong atau dikenali sebagai The Millennia @ Bayan Lepas yang menyumbang sebanyak RM4.6 juta kepada Kerajaan Negeri.
‘Caretaker’ Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam ucapannya sebelum pada itu menyatakan bahawa projek RMM Permatang Tinggi yang diusahakan oleh LPNPP dijangka menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri secara berperingkat iaitu 10 peratus dari nilai hak yang ditawarkan.
Proses pemberimilikan tanah kepada LPNPP juga telah selesai dan projek ini hanya akan melibatkan beberapa struktur. Ia dijangka mengambil masa selama lima tahun dan anggaran penyiapan projek adalah pada suku ke-4 tahun 2028 (Q4 2028).
Serentak pada majlis sama, Kon Yeow yang juga ‘Caretaker’ Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan antara LPNPP dan syarikat pemaju PTL Properties Sdn. Bhd., serta majlis mendatangani perjanjian persefahaman (MoU) perkongsian keuntungan antara LPNPP dan Kerajaan Negeri.
Selain Jagdeep, hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadilah Samsudi.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, ‘Ainul Fadhilah Samsudi memberitahu kos keseluruhan 14 projek RMM tersebut bernilai RM157 juta tersebut dijangka mula secara berperingkat pada awal tahun depan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS