BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sentiasa komited dalam menyediakan perumahan mampu milik pelbagai kategori bagi membolehkan rakyat di negeri ini memiliki rumah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, selain sasaran menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik pelbagai kategori menjelang tahun 2030, seperti yang termaktub dalam Visi Penang2030, Kerajaan Negeri juga mempunyai perancangan untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) kini mempunyai rancangan perumahan untuk lima tahun iaitu Pelan Induk Perumahan bermula tahun 2021 sehingga 2025 bagi membangunkan 7,838 unit rumah mampu milik.
“(Di bawah) rancangan ini terdapat 14 projek (projek rumah mampu milik – 9, projek pembaharuan semula – 5) yang mana kini pihak LPNPP sedang mencari suatu jenama yang akan dikenali sebagai ‘Rumah Mampu Milik Penang’ atau ‘RMMPg’,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dekat sini pagi ini.
Hadir sama, Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Operasi (Sektor Operasi) LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff; Ketua Pegawai Bisnes (Sektor Bisnes) LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Pengarah Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Nik Ariff Long Dir; pemangku Pengarah Perancangan Pembangunan , Zuraini Mat Rasit serta wakil pemaju, Rocky Cheang.
Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa di bawah rancangan perumahan tersebut juga, selain menyediakan rumah mampu milik pihaknya juga akan memulakan projek perintis pembaharuan semula skim perumahan lama di Lorong Mahsuri.
“Semalam (13 Oktober) dalam mesyuarat Exco, projek untuk membangunkan rumah mampu milik dan kos sederhana rendah di Bukit Gedung (Mukim 12, daerah Barat Daya) di bawah LPNPP telah diluluskan.
“(Dan) panggilan tender akan diiklankan mulai 15 Oktober 2021 selama 60 hari yang mana saya berharap kerja-kerja dapat dimulakan secepat mungkin dan dapat disiapkan menjelang tahun 2025.
“Manakala bagi projek pembaharuan semula di (Lorong) Mahsuri pula, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara prinsip telah memberi komitmen untuk melihat isu-isu berkaitan perundangan berbangkit.
“(Dan) saya berharap projek ini dapat dimulakan bagi meningkatkan daya huni dan kesejahteraan penduduk di skim perumahan lama,” jelasnya.
Terdahulu, Jagdeep bersama-sama LPNPP dan MBPP mengadakan pemantauan dan pemeriksaan mengejut di tapak pembinaan projek rumah mampu milik Fairview Residence dekat sini.
Difahamkan, projek di bawah Potential Dual Sdn. Bhd. ini melibatkan pembangunan 575 unit rumah mampu milik Jenis C3 dengan keluasan 900 kaki persegi pada harga RM300,000 seunit dan 58 unit adalah Jenis B (RM72,500).
Projek yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2022 ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf kondominium seperti kolam renang, taman rekreasi, kawasan permainan kanak-kanak, gimnasium serta ruangan barbeku.
Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat kepada para pemaju untuk menyediakan rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki malah berdaya huni dan dilengkapi dengan kemudahan asas semasa demi kesejahteraan penghuni.
“Pemaju RMM di negeri ini dikehendaki menepati tahap kualiti yang baik tanpa kecacatan serta memperoleh skor minimum 70 peratus di bawah penarafan QClassic yang diperakukan oleh Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN