Rasai keajaiban kelip-kelip Sungai Kerian

IBARAT kerdipan bintang pada waktu malam, kehadiran ribuan kelip-kelip di tebing Sungai Kerian sepanjang lapan kilometer ternyata menyajikan pemandangan yang mengasyikkan.

Bagi mereka yang mahu menikmati keajaiban kelip-kelip, Sungai Kerian dekat Jawi yang menjadi ikon bagi kawasan Nibong Tebal antara lokasi yang sesuai untuk dilawati.

Kerlipan kelip-kelip yang mengasyikkan.

Dengan perjalanan menaiki bot selama 45 minit dari jeti di Jalan Teluk Ipil, anda pasti kagum melihat kerdipan cahaya serentak yang terapung-apung pada pokok bakau yang membarisi tebing sungai seakan-akan dihiasi dengan lampu ajaib.

Difahamkan, spesies pokok bakau yang menarik perhatian sang kelip-kelip ini adalah pohon berembang atau nama saintifiknya Sonneratia Caseolaris.

Amazing Nibong Tebal merupakan syarikat yang menyediakan pakej lawatan ke kawasan tersebut dengan menawarkan perjalanan melalui bot pada waktu matahari terbenam untuk melihat kelip-kelip.

Pengusahanya, TAN CHIN HOCK, 57, ketika ditemui berkata bahawa idea untuk menjadikan kelip-kelip Sungai Kerian sebagai salah satu kawasan pelancongan timbul sejak tahun 2005 tetapi hanya dapat direalisasikan pada 2007.

“Saya bersama dengan rakan-rakan melawat Kuala Selangor untuk melihat kelip-kelip, dan apabila pulang ke sini (Sungai Kerian) saya dapati keadaan persekitarannya hampir sama.

TAN Chin Hock (kiri) menunjukkan bot beliau yang beroperasi membawa pelancong menelusuri keunikan Sungai Kerian.

“Kawasan sungai ini juga sunyi dan dipenuhi dengan pokok berembang yang menjadi habitat bagi kelip-kelip selain berlaku air pasang dan surut.

“Justeru, kami menyuarakan pandangan kepada Majlis Pelancongan Seberang Perai Selatan untuk menjadikan kawasan habitat kelip-kelip ini sebagai destinasi pelancongan dan syukur idea tersebut telah diterima.

“Pada mulanya, kami menyerahkan hal ini kepada nelayan memandangkan kami masih belum ada bot untuk membawa pelancong tetapi dari situ timbul isu daripada segi keselamatan yang mana pelancong tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan semasa menaiki bot.

“Selepas itu, barulah kami menubuhkan satu syarikat untuk menawarkan pakej pelancongan yang memenuhi ciri-ciri keselamatan selain boleh dikembangkan menjadi perniagaan yang serius,” jelasnya.

Jenis kelip-kelip yang terdapat di Sungai Kerian

Tambah Chin Hock, Amazing Nibong Tebal menyediakan beberapa pakej menarik dan berpatutan yang sesuai bagi pelancong tempatan dan luar negara.

“Kami menyediakan beberapa pakej yang mana pelancong dibawa menelusuri sungai sehingga ke tengah laut untuk melawat sangkar ikan berdekatan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua).

“Di sini para pelancong akan diberikan penerangan mengenai proses pembinaan ikan sangkar, penjagaan ikan sangkar dan sebagainya.

“Selepas itu, kira-kira jam 6.30 petang, pelancong akan dibawa menikmati hidangan makan malam di restoran makanan laut popular sekitar Seberang Perai Selatan sebelum melihat kelip-kelip pada sebelah malam.

Pemandangan waktu senja yang dapat dinikmati semasa menelusuri Sungai Kerian.

“Sebelum ini, kami juga ada menyediakan pakej mencandat sotong tetapi terpaksa dihentikan kerana habitat ini terjejas selepas kewujudan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan sampai kini masih belum pulih,” ujarnya.

Difahamkan, setiap tahun Amazing Nibong Tebal menerima kira-kira 5,000 pelancong yang majoritinya adalah terdiri daripada pelancong asing seperti Taiwan, Hong Kong, Singapura dan sebagainya.

Amazing Nibong Tebal menyediakan dua perjalanan iaitu pada jam 7.45 petang dan 8.30 malam yang mana setiap perjalanan akan mengambil masa kira-kira 40 minit.

Dalam pada itu, tambah Chin Hock antara cabaran yang dihadapi bagi mengekalkan perniagaan kini adalah untuk mengekalkan kawasan Sungai Kerian sebagai habitat kelip-kelip memandangkan kawasan Nibong Tebal kini semakin pesat dengan pembangunan.

Tan Chin Hock.

“Selain itu, hasrat saya untuk menaik taraf jeti juga sukar memandangkan tanah yang digunakan sekarang adalah milik Kerajaan Persekutuan dan permohonan untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) juga tidak diluluskan,” ulasnya.

Pada pendapat penulis, adalah sangat mustahil untuk merakam pemandangan indah kelip-kelip pada gambar dengan kamera standard atau kamera telefon. Keajaiban pertunjukan cahaya ini hanya akan terakam dan kekal dalam ingatan kita sahaja.

Amazing Nibong Tebal beralamat di Jalan Teluk Ipil dekat Jawi, Nibong Tebal. Sebarang pertanyaan sila hubungi Tan Chin Hock di talian : 012-555 4873.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS