Rasai pengalaman mengujakan, Tech Dome Penang kembali dibuka kepada umum

BERMULA 15 Oktober 2021, pusat penemuan sains, Tech Dome Penang (TDP) dibuka semula kepada umum setelah ditutup sejak bulan Mei akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 10 Mei 2021.

 

 

Penutupan operasi pusat interaktif tersebut disifatkan sebagai tempoh yang sukar dan bimbang kemungkinan kesan-kesan lain akibat PKP yang berpanjangan.

 

 

 Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru-baru ini sempat menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif TDP, TS. KHOO BOO WOOI.

 

Menurut Boo Wooi, semasa penutupan TDP, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan aktiviti interaktif secara maya.

 

 

“Misalnya, acara pertandingan sukan dalam talian seperti ‘Virtual Glow Walk’ yang menerima penyertaan menggalakkan walaupun secara maya.

 

 

“Acara ini mendapat kerjasama beberapa badan profesional dan telah menarik minat Institute of Engineering United Kingdom (IEUK).

 

 

“Aktiviti-aktiviti interaktif secara dalam talian diadakan setelah aktiviti secara bersemuka dan sentuhan tidak dibenarkan sekian lama sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik pada tahun lalu,” ujarnya yang berharap peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini memberi sinar semula untuk TDP kembali menjadi tumpuan umum.

 

 

 

Walaupun, pengoperasian baru-baru ini hanya terhad pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja namun pihaknya kekal positif dan yakin untuk kembali beroperasi sepenuhnya.

 

 

 

“Kehadiran secara harian melebihi 100 orang, hujung minggu boleh cecah hingga 500 orang.

 

 

 

 “Selepas kebenaran rentas negeri diberikan, TDP menerima ramai pengunjung dari luar Pulau Pinang seperti Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan sebagainya,” katanya yang berhasrat menjadikan TDP lebih berdaya saing pada masa hadapan.

 

 

Malah, Boo Wooi turut mengalu-alukan orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman yang mengujakan di Tech Dome Penang.

 

 

Cabaran Pupuk Minat

 

 

Cabaran utama adalah memupuk minat dalam kalangan pelajar untuk meminati bidang sains.

 

 

“Bukanlah persepsi yang mudah, tambahan pula ramai (pelajar) mengeluh mengenai subjek berkaitan sains seperti matematik.

 

“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk anak-anak meminati subjek sains selain cikgu di sekolah.

 

 

“Jadi baru-baru ini TDP telah menganjurkan forum (secara maya) dengan menjemput badan-badan professional untuk terangkan bahawa sektor industri memerlukan ramai jurutera.

 

 

“(Dan) melalui forum tersebut, kami berikan kefahaman kepada pelajar-pelajar bahawa kehidupan seorang jurutera tidaklah membosankan dan ‘menakutkan’.

 

 

 “Selain itu, kami terangkan bagaimana pada masa hadapan pelbagai perkara akan ‘diambil alih’ oleh mesin yang sememangnya memerlukan teknologi dan tenaga kerja mahir serta pofesional,” jelas Boo Wooi yang mengambil alih menggalas tanggungjawab mengemudi TDP daripada Dr. Khong Yoon Loong pada Mac lalu.

 

Difahamkan, aktiviti dan forum yang dianjurkan TDP dengan kerjasama pelbagai pihak mendapat sambutan malah pernah mencecah sehingga 3,000 penyertaan pada satu-satu aktiviti.

 

 

Memasuki Fasa 4 di bawah PPN bermula 8 November 2021, TDP merancang untuk mengadakan aktiviti-aktiviti secara fizikal pada skala kecil terlebih dahulu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

 

“TDP juga dalam perancangan membawa jurutera ke sekolah-sekolah, mengadakan beberapa pertandingan dan menganjurkan ‘Grand STEM’ (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

 

 

“Antara aktiviti yang bakal menjadi fokus adalah permainan robotik, permainan mereka cipta, bengkel bagi subjek fizik dan kimia serta pencetakan tiga dimensi (3D).

 

 

 “TDP juga akan meneruskan beberapa program secara dalam talian memandangkan penyertaan yang diterima memberangsangkan,” katanya lagi.

 

 

 Perancangan Masa Depan

 

 

TDP bercadang untuk turut menjalin kerjasama bersama-sama sebuah syarikat perisian dari negara India bagi pembelajaran berkaitan mesin atau machine learning iaitu perisian pengecaman wajah untuk pelajar peringkat menengah.

 

 

Boo Wooi berkata bahawa pihak TDP juga bakal mengajurkan ‘Penang Literacy Camp’ yang dijadualkan bermula pada 11 hingga 24 Disember depan.

 

 

“Segala data dan maklumat boleh didapati melalui Facebook Tech Dome Penang yang mana projek kem tersebut memberi fokus terhadap pembuatan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data.

 

 

“Kita juga perlu sedar, teknologi sememangnya berkembang maju, namun apabila terjadinya pandemik COVID-19, teknologi bergerak lebih pantas daripada apa yang kita jangkakan,” tegasnya yang mahu melihat TDP bergerak seiringan dengan perkembangan teknologi semasa.

 

Harapan

Walaupun TDP mempunya saiz yang lebih kecil namun besar harapan Boo Wooi untuk membawa pusat interaktif sains dan teknologi ini jauh ke hadapan.

 

 

Dia turut menzahirkan hasrat menjadikan TDP sebagai pusat pameran sains di Pulau Pinang setanding pusat pameran sains yang terdapat di ibu negara.

 

 

 

“Sekarang orang luar Pulau Pinang juga telah mula mengenali TDP dengan promosi dan sambutan yang diterima sebelum pandemik.

 

 

“Saya harap selepas ini TDP boleh mengorak langkah lebih jauh, menjadi terkenal melalui aktiviti-aktiviti dan pameran yang disajikan untuk menarik perhatian umum,” katanya sebagai penutup bicara.

 

 

TDP adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan sebuah hab pembelajaran sains dan teknologi selain menjadi pusat bertukar-tukar idea bagi meningkatkan keupayaan sains dan teknologi di negeri ini.

 

 

Terdapat lebih 120 pameran interaktif, TDP kini menjadi salah satu lokasi wajib dikunjungi apabila anda bercuti ke Pulau Pinang.

 

 

Maklumat lanjut sila layari Facebook Tech Dome Penang atau hadir ke Geodesic Dome KOMTAR.