Oleh: WA TAWA NATAF ZULKIFLI
BAYAN LEPAS – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menyatakan bahawa polisi baru yang dibawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008 jelas membawa perubahan ketara dalam sektor industri di sini.
Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika merasmikan gelanggang futsal baru kilang pembuatan kompenan semikonduktor elektronik, Fairchild Semiconductor Sdn. Bhd (Fairchild) di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di sini baru-baru ini.
“Berasaskan penekanan kepada prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), polisi ini sememangnya merancak dan memberi tambah nilai yang baik kepada penggiat industri khususnya pembuatan di negeri ini.
“Malah, keyakinan pelabur asing untuk datang melabur ke Pulau Pinang jelas memberikan peluang menarik kepada tenaga mahir tempatan, tambahan pula negeri ini tersenarai antara tempat terbaik untuk diduduki selain pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia UNESCO,’’ katanya pada majlis perasmian tersebut di sini baru-baru ini.
Serentak itu, Mohd. Rashid turut merasmikan sebuah padang turf untuk kegunaan sukan futsal yang bernilai RM60,000.
Turut diadakan adalah perlawanan persahabatan antara pasukan Pejabat Timbalan Ketua Menteri I menentang pengurusan Fairchild.
Kelincahan Mohd. Rashid yang berjaya menjaringkan enam gol (penjaring terbanyak) berjaya meletakkan pasukan beliau sebagai juara perlawanan.
Dalam pada itu, pada satu sesi soal jawab, beliau juga sempat menjawab beberapa soalan dikemukakan pelatih jurutera kilang berkenaan antaranya berhubung isu hartanah, pengangkutan awam serta polisi Kerajaan Negeri.