GEORGE TOWN – Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Beliau menerima penganugerahan dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Dewan Sri Pinang.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Rashidi menyifatkan penganugerahan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk beliau terus berusaha membangunkan masyarakat Pulau Pinang terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri terutamanya TYT Tun (Ahmad Fuzi Abdul Razak) atas penganugerahan yang tidak disangka-sangka ini.
“Sudah tentu penganugerahan yang besar ini akan memberikan semangat kepada saya untuk terus bekerja dengan lebih gigih lagi dalam mengangkat martabat rakyat di negeri ini.
“Sejak berkecimpung dalam bidang politik dari tahun 1995, apatah lagi selepas diberikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kini, adalah menjadi pegangan hidup saya untuk terus bekerja bersama-sama dengan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan yang memasuki hari kedua hari ini.
Rashidi berkata, beliau juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk merapatkan jurang antara bahagian Seberang Perai dan pulau terutamanya dari segi ekonomi serta pendidikan.
“Justeru, saya telah merangka untuk menganjurkan beberapa program bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan Pejabat Ketua Menteri dalam usaha merapatkan hubungan antara masyarakat dan kaum di negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Sungai Acheh.
Terdahulu, istiadat penganugerahan yang memasuki hari kedua hari ini menyaksikan tujuh daripada 348 individu menerima penganugerahan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri manakala dua 8lagi menerima penganugerahan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Dalam istiadat yang sama, seramai 26 individu menerima penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Selain itu, 24 individu menerima penganugerahan Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (10); Pingat Kelakuan Terpuji (52); Pingat Jasa Kebaktian (87); Pingat Jasa Masyarakat (130) dan Pingat Bakti Setia (5).
Pada tahun ini, seramai 142 individu menerima penganugerahan darjah kebesaran manakala 1,204 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD