Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sebagai penghargaan dan kecemerlangan mempertahankan konsistensi kejayaan bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) baru-baru ini menyampaikan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol Ann David di sini.
Sumbangan penghargaan tersebut adalah ekoran kejayaan beliau merangkul gelaran juara buat kali ketujuh pada Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga merupakan Pengerusi PBAPP ketika menyampaikan cek tersebut berkata, kejayaan yang dicapai Nicol merupakan inspirasi kepada rakyat Pulau Pinang khususnya dan Malaysia kerana berjaya menempa nama di pentas dunia buat kali ketujuh.
“Nicol adalah anak jati Pulau Pinang dan merupakan satu-satunya pemain wanita yang berjaya mempertahankan konsistensi kejayaan bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali. Ini merupakan sejarah kepada pentas Squasy.
“Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan dan kejuaraan yang digalasnya untuk satu jangka tempoh yang lama. Sebaliknya, ia memerlukan semangat dan dedikasi tinggi seseorang,” ujarnya ketika menyampaikan cek sumbangan di Komtar baru-baru ini di sini.
Hadir sama, Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.
Dalam pada itu, Nicol memberitahu, adalah menjadi harapannya agar lebih ramai jaguh sukan bertaraf dunia dapat dilahirkan di Pulau Pinang.
“Melalui pelbagai program pembangunan sukan, saya berharap lebih ramai bakat-bakat baru yang berpotensi dapat digarap dan diketengahkan,” ujar beliau.