Ratusan suami kaki masak jayakan perhimpunan SMAHI di ‘Stadium Batu Kawan’

Admin

BUKIT TAMBUN – Ratusan anggota kumpulan laman Facebook SMAHI atau ‘Suami Masak Apa Hari ini?’ mengadakan perjumpaan terbesar kali kedua di perkarangan parkir Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan pada 29 Oktober 2022.

Perjumpaan pada kali ini merupakan lanjutan kepada acara perhimpunan sulung mereka di Malakat Mall sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

KETUA Menteri (berbaju putih) turut mengambil kesempatan memasak apom balik semasa sesi melawat gerai pameran anjuran karnival Suami Masak Apa Hari Ini? atau SMAHI di Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan pada 29 Oktober 2022.

Pada petang tadi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjadi tetamu kehormat utama dalam acara karnival makanan ‘hasil air tangan suami’ SMAHI serta pameran produk-produk komersial berkaitan.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan mantan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthurirani.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut merakamkan gambar bersama-sama ratusan anggota kumpulan Facebook berkenaan, sambil sorakan “Beras, kita (suami) yang beli!”

Salah seorang ahli teras SMAHI yang enggan identitinya memberitahu Buletin Mutiara bahawa acara kedua terbesar kumpulan laman media sosial berkenaan seakan berjaya menyatukan ratusan suami kaki masak dari segenap pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ratusan yang datang hari ini semua suami kaki masak, dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai solidariti bersama,” katanya.

Difahamkan, kumpulan SMAHI diwujudkan pada sekitar tahun 2020 iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan yang mana golongan suami sambil bekerja dari rumah saling berkongsi hasil air tangan masakan masing-masing untuk keluarga tercinta di laman Facebook tertutup hanya untuk kaum Adam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD