Rayu Putrajaya beri permit langsung pemandu teksi sebenar

BUTTERWORTH – Kerajaan Negeri merayu pada Putrajaya supaya memberi permit langsung kepada pembandu teksi sebenar di Pulau Pinang, sebagaimana Pakatan Rakyat cadangkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu lebih menguntungkan pemandu teksi berbanding syarikat-syarikat kroni tertentu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut membuat rayuan terbuka semasa majlis pemberian insentif kali kedua kepada pemandu teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa peringkat Seberang Perai, kerana menganggap golongan berkenaan memberi perkhidmatan pengangkutan awam terbaik di negeri ini.

“Ini (pemberian insentif) adalah janji Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk mengurangkan beban pemandu-pemandu teksi.

“Sumbangan itu terus kepada pemandu teksi yang sebenar kerana kita (Pakatan Rakyat) tiada kuasa untuk memberi permit secara langsung kepada pemandu teksi supaya mereka boleh dapat untung.

“Sudah sampai masanya untuk Putrajaya memberikan lesen teksi kepada pemandu yang sebenar, bukan kepada syarikat-syarikat kroni,” ujarnya di Dewan Haji Datuk Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Abd. Malek Darus (Yang di-Pertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Kawasan Pulau Pinang) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Maktar Shapee (Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang).

Kali pertama sumbangan insentif serupa diperkenalkan adalah pada bulan Julai tahun lepas.

Bermula tahun ini (2014), bayaran insentif dilakukan dua kali setahun iaitu RM300 pada awal tahun dan hujung tahun (RM300).

Kali ini, seramai 742 penerima sekitar Seberang Perai menerima sumbangan serupa untuk kali yang kedua.

Itu, tidak termasuk 1,556 pemandu lain sekitar bahagian pulau, yang menerima sumbangan serupa pada satu majlis berasingan.

“Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah hampir RM700,000 (RM869,400),” ujar Guan Eng sambil mengharapkan semua penerima  terus memberikan perkhidmatan terbaik demi mereputasi imej Pulau Pinang.