Rebut peluang dalam ekonomi sirkular, kata Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa antara ancaman penduduk dunia pada hari ini adalah isu penjanaan sisa plastik secara berlebihan.

Beliau berkata, kira-kira 300 juta tan sisa plastik dijana setahun, dengan 50 peratus daripadanya adalah jenis plastik sekali guna, sementara 8 juta tan daripada keseluruhan lambakan sisa tersebut hanyut ke sungai dan laut.

Malah katanya, kajian dalaman peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mendapati 14 peratus sisa yang dipungut di Seberang Perai adalah jenis sisa plastik dan hanya 30 peratus daripada sisa tersebut berjaya dikitar semula.

“Kita (MBSP) tak tahu ke mana perginya baki 70 peratus sisa plastik ini, tetapi apabila kita buat gotong-royong mengutip sampah di pantai, 70 peratus sisa sampah adalah plastik sekali guna iaitu dalam bentuk botol, penyedut minuman, plastik dan sebagainya.

“Kalau dahulu kita lihat (penjanaan sisa plastik) sebagai ancaman (pada kelestarian alam sekitar), hari ini kita kena melihatnya sebagai peluang untuk menjana pendapatan (isi rumah) keluarga di desa dan di kota.

“Penduduk Seberang Perai mesti rebut ‘peluang’ dalam ekonomi sirkular (circular economy) ini sekarang setelah semua pihak begitu terkesan dengan pandemik COVID-19 dari sudut ekonomi sebelum ini.

“Berbanding ekonomi linear (berkonsepkan) ‘ambil, buat dan jual’, dalam ekonomi sirkular pula, sisa plastik dianggap sumber bernilai yang akan dikitar serta diguna semula sebagai bahan mentah ataupun produk baharu,” jelasnya kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Anugerah Komuniti Hijau 2020 di lobi Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda di sini pada 4 Julai 2020.

Turut berucap, Pengurus Kumpulan Amphenol TCS (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Lee Teong Li selaku penaja bersama program tahunan PBT tersebut.

Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod dan beberapa Ahli Majlis bagi PBT berkenaan turut sertai acara tersebut.

Hampir 40 pemegang taruh turut sertai acara tersebut dalam jarak 1 meter (m) antara satu sama lain, lengkap dengan memakai pelitup muka.

21 Jun lepas, MBSP berkolaborasi dengan ejen pelaksana Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn. Bhd. melancarkan aktiviti pengumpulan sisa organik seperti sayur-sayuran dan buah-buahan rosak di Pasar Awam Kepala Batas untuk dijadikan makanan larva lalat baka ‘Black Soldier Fly’.

Sambil menyifatkan program tersebut sebagai ekonomi sirkular, beliau memberitahu bahawa larva tersebut kemudiannya akan dikitar semula menjadi makanan ternakan seperti ayam, ikan dan sebagainya sementara, sisa baki lain akan dijadikan baja organik untuk aktiviti pertanian.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : Arkib MBSP