Redaksi Buletin Mutiara anjur empat pertandingan, pemilihan 17 pemenang muktamad

GEORGE TOWN – Senarai 17 pemenang bagi empat kategori pertandingan yang dianjurkan oleh Sidang Redaksi Buletin Mutiara Edisi 4/2022 dimuktamadkan pada hari ini.

Empat kategori tersebut adalah Bakat Si Cilik Mewarna & Melukis Poster bertemakan Penang Tahun 2023; Pertandingan Vlog bertemakan Jalan-jalan Penang (dalam talian); serta Silang Kata ‘Dari Gabenor ke T.Y.T’ kolaborasi bersama Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) bagi siri kedua.

PANEL juri semasa sesi pemilihan sebentar tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M.Satees, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Muhamad Husni Mahmud dan Ketua Penolong Setiausaha BPEN, Jeremy Low Boon Hoe merupakan tiga juri yang membuat proses pemilihan akhir pada pemenang bagi semua kategori tersebut.

M. Satees.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Satees memberitahu bahawa penganjuran peraduan berkaitan sekali gus dapat mencungkil kemahiran dan bakat para peserta dalam pelbagai kategori.

“Saya sangat kagum melihat karya yang telah dihasilkan para peserta dan mungkin selepas ini pihak penganjur boleh pula memfokuskan tema di bahagian Seberang pula.

“Hal ini kerana terdapat juga ‘hidden gem’ di bahagian Seberang yang saya sendiri berjaya terokai, dengan ini orang ramai dapat melihat keunikan Pulau Pinang bukan sahaja terletak di bahagian Pulau, malahan di Seberang juga,” ujarnya semasa sesi pemilihan di Komtar pada 15 Februari 2023.

MUHAMAD Husni Mahmud.

Sementara itu, Muhamad Husni pula memuji peraduan vlog kerana berjaya menarik penyertaan ramai dengan menampilkan pelbagai elemen kreativiti.

“Saya turut bersependapat dengan YB Satees mengenai pembaharuan tema pada peraduan akan datang, peserta boleh mengunjungi tempat-tempat yang tak pernah diterokai…dengan syarat bersesuaian dengan tema peraduan.

“Secara tidak langsung, peraduan (Buletin Mutiara) ini berupaya menjadi pusat pengumpulan data dari segi pembangunan untuk setiap kawasan dan sebagainya,” tambahnya lagi.

JEREMY Low Boon Hoe.

Boon Hoe pula mencadangkan pihak penganjur pertandingan pada masa hadapan turut menyasarkan kolaborasi dengan agensi-agensi berkaitan.

“Penyertaan terhadap peraduan berkaitan telah menonjolkan perpaduan berbilang kaum di negeri ini dan diharapkan ia kekal berterusan,” ulasnya sambil memuji usaha mempromosikan Kerajaan Negeri ini.

 

BARISAN panel juri bergambar kenang-kenangan menerima cenderahati dari pihak penganjur.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI