Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang 2024 simbolik hubungan diplomatik lima dekad Malaysia, China

img 3816 TUN Ahmad Fuzi dengan diringi Wong Hon Wai merakamkan gambar dengan salah satu pasukan yang menjuarai satu kategori sempena penganjuran edisi tahun ke-45 Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang 2024 di Strait Quay Retail Marina, Tanjung Tokong di sini pada 24 November 2024.

TANJUNG BUNGA – Majlis penutup perlumbaan Regatta Perahu Naga Antarabanga Pulau Pinang 2024 yang berlangsung pada 23 dan 24 November lalu di Strait Quay Retail Marina di sini bertambah meraih dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

img 3693
WONG Hon Wai

Exco Pelacongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai semasa berucap antara lain berkata, penganjuran acara tahunan tersebut adalah signifikan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Rakyat China.

“Pada tahun ini, kami memulakan lembaran baharu dengan menganjurkan Regatta (pertandingan perahu naga) di Straits Quay Retail Marina, sebuah tempat yang menggabungkan pemandangan menakjubkan dengan kemudahan yang sempurna.

“Peralihan dari Empangan Teluk Bahang ke lokasi tepian air yang dinamik ini telah membawa persaingan lebih dekat ke tengah-tengah Pulau Pinang, membolehkan lebih ramai orang menikmati keseronokan perlumbaan perahu naga.

“Kehadiran yang memberangsangkan membuktikan bahawa pemindahan acara ke Straits Quay Retail Marina merupakan keputusan yang dibuat dengan baik (yang mana) sektor perniagaan seperti peruncit, perhotelan, penjual makanan dan minuman dan sebagainya turut mendapat manfaat,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 24 November 2024.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong turut merakamkan penghargaan kepada Tun Ahmad Fuzi atas kesudian menyertai majlis penyampaikan trofi kepada pasukan pemenang.

14242b2f 35c0 4a59 acad e147ef5cf3a1
ANTARA gambar menarik yang dibekalkan penganjur kepada Buletin Mutiara.

Trofi yang dimaksudkan, menurutnya lagi, adalah Trofi Cabaran TYT (Terbuka Perdana Malaysia) 400 meter (m); Piala Cabaran Persahabatan Malaysia – China (Terbuka Perdana Antarabangsa) 400m; Trofi Cabaran Hong Kong (Campuran Perdana Antarabangsa) 400m; dan Trofi Cabaran Remaja Hong Kong (Terbuka Remaja Antarabangsa Bawah 24 tahun) -400m.

Mengimbau sejarah, perlumbaaan perahu naga Pulau Pinang mula dianjurkan pada tahun 1950-an, yang mana semasa itu sempena keraian Festival Perahu Naga tradisional.

Pada tahun 1956, turut dianjurkan perlumbaan perahu naga sempena ulang tahun penubuhan Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pada tahun 1977, Pulau Pinang telah menghantar 30 anggota pasukan perahu naga untuk menyahut saingan dalam Festival Lumba Perahu Naga Hong Kong.

Pada 8 Julai 1979, Pulau Pinang buat julung-julung kali menjadi tuan rumah Pesta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang dengan penyertai 66 pasukan dari Indonesia, Singapura, Hong Kong dan Malaysia sendiri.

Sempena edisi tahun ke-45 Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang yang melabuh tirai penganjuran acara semalam, difahamkan, saingan pada kali ini telah menerima penyertaan lebih 1,600 peserta daripada 61 pasukan di 12 negara serantau termasuk China, Hong Kong, United Kingdom, Belanda, Jepun, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Taiwan serta pasukan-pasukan domestik dari Malaysia.

Selain Hon Wai, Konsulat Besar Republik Rakyat China ke Pulau Pinang; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang antara yang hadir mengiringi Tun Ahmad Fuzi dalam Majlis Perasmian Penutup Perlumbaan Regatta Perahu Naga Antarabanga Pulau Pinang 2024 lewat petang semalam.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB