Rehabilitasi TPS Jelutong, syarikat PLBE dijangka peroleh semua kelulusan Q3 2024 – Exco

Admin
whatsapp image 2024 05 27 at 14.12.47

GEORGE TOWN – Syarikat PLB Engineering Berhad (PLBE) kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Projek Rehabilitasi dan Pembangunan di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jelutong dekat sini.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, bagi laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), pihak PLBE sudah pun memperoleh kelulusan manakala ulasan yang diperlukan daripada pihak berwajib juga telah diperoleh bagi laporan Penilaian Kesan Perikanan (FIA).

 

Kesemua kelulusan berkaitan dijangka diperoleh pada suku ketiga (Q3) tahun 2024 dan setelah kesemuanya diluluskan, peringkat seterusnya adalah kerja-kerja rehabilitasi.

 

“Pembangunan bercampur akan dibangunkan di tanah TPS Jelutong yang telah  selesai direhabilitasi nanti,” ujarnya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas pada 27 Mei di sini.

 

Menurut Mooi Lye, Syarikat PLBE dilantik sebagai pelaksana projek pada 21 Februari 2020 menerusi Joint Development Agreement (JDA) yang ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku pengurus projek.

 

Menerusi JDA, pihak PLBE disyaratkan memperoleh kesemua kelulusan untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan atau rehabilitasi yang mana tidak lewat 18 bulan dari tarikh perjanjian tersebut.

 

“(Dan) memulakan pengoperasian Interim Integrated Recycle Center (IIRC) dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perjanjian.

 

“Sehingga kini bagi projek rehabilitasi, PLBE telah diberikan tiga kali Lanjutan Tempoh Masa (EOT) iaitu pada 12 Disember 2021, 5 Jun 2023 dan 30 Jun 2024.

 

“Manakala bagi projek IIRC pula, sebanyak empat kali iaitu 14 Jun 2021, 23 Oktober 2021, 6 Disember 2022 dan 6 April 2024 termasuk Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang masih belum diperoleh kerana terdapat dokumen yang belum dikemukakan oleh perunding PLBE.

 

“Selain itu, sebagai jaminan pihak PLBE juga disyaratkan mengemukakan bank guarantee (BG) sebanyak RM26 juta kepada Kerajaan Negeri pada 30 Jun 2024,” jelasnya sebagai menjawab soalan daripada ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.

 

Dalam pada itu, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri masih tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mewujudkan sebuah fasiliti pengurusan sisa pepejal bersepadu di bahagian pulau.

 

“(Hal ini kerana), perancangan asal Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) adalah untuk mewujudkan fasiliti yang dilengkapi dengan teknologi berkonsepkan sifar sisa dan waste to energy (WTE) di Fasa 3, TPS Pulau Burung.

 

“Walau bagaimanapun, perancangan ini tertangguh kerana kini dalam proses berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri ini.

 

“Hasil rundingan ini akan menentukan hala tuju pembangunan fasiliti sisa pepejal bersepadu di negeri ini kelak,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SIEW CHIA EN