REHDA Pulau Pinang jangka prestasi harta tanah bertambah baik 2023

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang meletakkan harapan bahawa prestasi pasaran harta tanah seluruh negara bagi tahun 2023 bertambah baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.

 

Pengerusi REHDA Pulau Pinang, Khoo Teck Chong berkata, pihaknya menjangkakan pasaran harta tanah, terutamanya bagi subsektor harta tanah jenis kediaman di Pulau Pinang, menunjukkan momentum positif selari dengan keadaan ekonomi yang dijangka terus pulih.

 

Secara amnya, pada masa ini pasaran harta tanah terutamanya subsektor kediaman walaupun memperlihatkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pemaju yang mana pelancaran unit-unit baharu perumahan dilihat kian mencabar.

 

“(Dan) ditambah pula dengan kenaikan mendadak harga bahan binaan, kadar inflasi serta kekurangan tenaga buruh binaan memberi kesan terhadap keseluruhan kos dan prestasi pasaran.

 

“Secara peribadi, saya melihat bahawa prestasi tahun ini berdasarkan data suku pertama tahun ini (Q1 2022; yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), adalah bertambah baik berbanding tahun 2021.

 

“Saya percaya transaksi pasaran juga meningkat sama ada dalam bilangan mahupun nilai jika dibandingkan tahun semasa pandemik dan selepas pandemik sehingga kini memasuki suku keempat 2022 (Q4 2022),” ujarnya ketika dihubungi oleh Buletin Mutiara pada 29 September 2022.

 

PASARAN harta tanah melibatkan subsektor kediaman dijangka lebih baik tahun hadapan.

 

Menurut Teck Chong, selain memastikan penawaran unit kediaman adalah selari dengan permintaan, perhatian juga harus diberikan terhadap situasi unit kediaman tidak terjual atau overhang.

 

Misalnya di Pulau Pinang, kita perlu melihat kawasan atau daerah mana yang mempunyai permintaan (kediaman), ini penting bagi memastikan rumah yang dibina bukan sahaja menepati permintaan tetapi juga mampu dimiliki oleh pembeli di kawasan tersebut.

 

“Begitu juga data overhang, kita perlu meneliti dengan lebih baik dan menyeluruh supaya isu ketidakpadanan dapat dibendung dan unit kediaman tidak terjual dapat dikurangkan.

 

“(Dan) saya juga telah membawa isu ini untuk perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan setiap keputusan (untuk pembangunan kediaman baharu; melibatkan kelulusan pembangunan projek) adalah tepat dan tidak menyumbang kepada lambakan stok pada masa hadapan,” jelasnya yang turut memahami kekangan yang dihadapi pada peringkat negeri terutama dalam membantu para pemaju pada masa kini.

 

Tambah beliau lagi, selain insentif dalam membantu pihak pemaju dan memastikan unit kediaman boleh dijual, Kerajaan Negeri serta pihak berkepentingan dalam subsektor kediaman juga boleh mempertimbangkan beberapa pemangkin lain berbentuk kewangan, misalnya.

 

“Sebagai contoh, memberi insentif besar untuk setahun pada tahun 2023 (kepada pihak pemaju) dengan mengurangkan caj kemajuan dan jumlah sumbangan antara 50 hingga 70 peratus misalnya, akan memberi galakan terhadap prestasi keseluruhan pasaran (subsektor kediaman).

 

Langkah ini sebenarnya dapat memastikan unit yang telah dan bakal dibina dapat dijual pada harga jualan yang lebih menarik dan tidak membiarkan unit tersebut tidak terjual untuk suatu tempoh yang lama walaupun di pasaran terbuka.

 

“(Dan) pada peringkat persekutuan, mungkin pihak Kerajaan Persekutuan dapat melihat pengecualian levi yang dikenakan (ke atas jumlah nilai keseluruhan kerja pembinaan) melibatkan bahan binaan, yang mana harga bahan binaan meningkat dengan mendadak terutama selepas pandemik.

 

“Keduanya adalah masalah kekurangan tenaga kerja buruh dalam sektor pembinaan yang masih berlarutan sehingga kini dan perkara-perkara ini juga diharap mendapat perhatian dalam pembentangan Bajet 2023 yang dijangka pada 7 Oktober nanti,” sarannya sambil berharap menerima khabar gembira kelak.

 

Sebelum ini, pada pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2022 di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di Selangor, sebagai dipetik merekodkan bahawa pasaran harta tanah merekodkan lebih 188,000 transaksi bernilai RM84.40 bilion pada separuh pertama tahun ini (H1 2022) dengan subsektor kediaman menguasai lebih 60 peratus daripada keseluruhan transaksi dan hampir 54 peratus nilai transaksi.

 

Bilangan itu merupakan peningkatan lebih 30 peratus dari segi bilangan (34.5 peratus) dan nilai (36.1 peratus) berbanding tempoh sama tahun lepas (2021).

 

Jumlah transaksi subsektor juga menunjukkan pergerakan menaik yang mana subsektor tanah kediaman mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun pada 26.3 peratus; diikuti komersial (45.4 peratus); industri (49.5 peratus); pertanian (57.4 peratus) dan tanah pembangunan (35.0 peratus). Nilai transaksi juga bergerak seiring dengan pertumbuhan subsektor yang mana subsektor kediaman menerajui keseluruhan pasaran harta tanah dengan sumbangan 61.8 peratus.

 

Malah, berdasarkan laporan tersebut juga, terdapat 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dicatatkan bagi subsektor kediaman, iaitu peningkatan sebanyak 26.3 peratus dalam bilangan dan 32.2 peratus bagi nilai tahun ke tahun. Empat negeri utama mencatatkan jumlah pasaran yang lebih tinggi iaitu Pulau Pinang kenaikan 37.8 peratus; Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (28.4 peratus); Johor (20.2 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

 

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 34,092 unit siap dibina dan tidak terjual bernilai RM21.73 bilion dicatatkan, menunjukkan penurunan masing-masing 7.5 peratus (dalam jumlah unit) dan 4.6 peratus (nilai unit) berbanding separuh pertama 2021 (H1 2021). Kediaman dalam pembinaan belum terjual juga menurun 11.1 peratus kepada 62.404 unit berbanding H2 2021 (70,231 unit). Pulau Pinang berada di tempat kedua di belakang Johor (6,040 unit; RM4.73 bilion) dengan jumlah dan nilai siap dibina terjual tertinggi sebanyak 16.2 peratus (5,508 unit; RM3.64 bilion) diikuti Selangor (5,156 unit; RM4.71 bilion).

 

Data penuh untuk keseluruhan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2022 boleh dicapai melalui laman sesawang https://napic.jpph.gov.my/.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN & KHOO TECK CHONG