Rejuvinasi wajah pekan lama Bukit Mertajam menerusi pesta kebudayaan – KM

BERAPIT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Pesta Seni dan Kebudayaan Bukit Mertajam dapat meremajakan lagi pekan lama di sini.

Katanya, aktiviti kesenian dan kebudayaan sebegitu turut dapat menghidupkan komuniti serta menjana hasil ekonomi setempat.

“Kerajaan Negeri berharap semua pekan-pekan di Pulau Pinang ini dapat diperbaharui wajahnya, dan dapatlah ia menjadi penjana ekonomi setempat, selain aktiviti seni serta budaya seperti yang kita nampak pada malam ini,” jelasnya ketika merasmikan pesta tersebut pada 25 Ogos 2018.

Jelas Kon Yeow, George Town yang dikenali di peringkat nasional hatta antarabangsa pun, bermula dengan usaha memperkaya budaya dan seni, selain nilai warisan ketara serta tidak ketara di sana.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender serta Agama Selain Islam, Chong Eng; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Pada majlis sama, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut dibawa menyaksikan pameran menarik berkaitan kesenian dan kebudayaan tradisional masyarakat Cina tempatan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar & Video : ALISSALA THIAN