GEORGE TOWN – Pembinaan Masjid Habib seluas 8,615 meter (m) persegi di atas PT 702, Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang dekat Tanjong Tokong, di sini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Sri Meer Sadik Habib berkata kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan telah bermula dan dijangka menelan kos kira-kira RM25 juta.
“Memang menjadi harapan kita sejak dulu lagi terutama sekali arwah ayahanda yang mahukan sebuah masjid dibina di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau kerana beliau berasal dari sini.
“Hari ini, kita kembali semula ke Pulau Pinang untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat di negeri ini terutama di Sri Tanjong Pinang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Masjid Habib dekat sini sebentar tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad; Setiausaha MAINPP, Dato’ Samsudin Bakar serta Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB, Datin Sri Zarida Noordin.
Meer Sadik berkata, Masjid Habib mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan reka bentuk berunsurkan seni Jawi Peranakan.
“Contohnya reka bentuk kubah masjid ini adalah diinspirasikan daripada potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barang kemas masyarakat wanita Jawi Peranakan suatu ketika dahulu.
“Itu merupakan salah satu contoh unsur pembinaan yang diinspirasikan daripada seni komuniti kacukan, Jawi Peranakan di negeri ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pembinaan Masjid Habib bukan sahaja sebagai tempat untuk beribadat semata-mata tetapi juga bakal menjadi pusat komuniti untuk tujuan berdakwah.
“Ini kerana Pulau Pinang mempunyai ramai masyarakat bukan Islam termasyuk juga para pelancong dan kita mahu mereka datang ke masjid ini dan melihat keindahan agama Islam.
“Malah, pembinaan masjid ini juga menitikberatkan keselesaan para jemaah terutama warga emas, golongan wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Selain itu, Masjid Habib juga akan dilengkapi dengan kemudahan dewan serbaguna yang boleh digunakan oleh komuniti setempat untuk pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, kenduri dan lain-lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin dalam ucapannya berkata bahawa Masjid Habib dibangunkan di atas tanah serahan pemaju kepada MAINPP yang berkeluasan 2.19 ekar.
“Masjid yang akan dibina ini bakal menjadi mercu tanda komuniti Muslim di Bandar Tanjong Pinang selain dapat dinikmati bersama-sama penduduk perumahan di sini dan kawasan sekitarnya.
“Malah, tidak mustahil masjid ini akan menjadi tarikan utama pelancong kerana seni binanya yang unik iaitu berkonsepkan batu permata bersesuaian dengan kegemilangan jenama Habib Jewels di negera ini.
“Selain menjadi tempat ibadah dan kegiatan komuniti, masjid ini juga boleh dijadikan pusat pengembangan syiar untuk tujuan berdakwah kepada golongan bukan Muslim,” katanya.
Difahamkan, Masjid Habib turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serbaguna untuk pelbagai majlis.
Apabila siap kelak, masjid berkenaan mampu memuatkan lebih daripada 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI