PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama negara apabila merekodkan jumlah eksport sebanyak RM177.99 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023.
“Pulau Pinang telah menduduki tempat pertama bagi jumlah eksport pada tahun 2023, dengan sumbangan sebanyak RM30.5 peratus atau RM434.74 bilion daripada jumlah eksport negara, mengatasi semua 12 negeri dalam negara.
“Sebagai tambahan, nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang turut berkembang yang mana membuktikan keterbukaan negeri terhadap perdagangan antarabangsa secara keseluruhan,” katanya ketika merasmikan program Hari Eksport Pulau Pinang 2024 dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PDC, Sr. Roslan Hassan.
Hari Eksport Pulau Pinang 2024 dianjurkan dengan kolaborasi antara MATRADE dan Kerajaan Negeri melalui PDC serta Pejabat Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar.
Difahamkan, penganjuran program tersebut pada tahun ini merupakan yang julung kalinya diadakan selama dua hari berturut-turut mulai hari ini (22 Julai).
Kon Yeow menyatakan bahawa MATRADE memainkan peranan penting membantu syarikat-syarikat dalam negara membangun dan mengembangkan pasaran eksport mereka ke peringkat antarabangsa.
“Malah, saya juga telah menyaksikan banyak kejayaan dilakar oleh syarikat-syarikat Pulau Pinang pada peringkat global hasil usaha pihak MATRADE.
“Usaha yang dilaksanakan adalah melalui penganjuran program-program promosi eksport di dalam dan juga luar negara serta bantuan-bantuan lain yang disediakan.
“Saya yakin, penganjuran kali ini akan memberi impak yang lebih besar dan signifikan kepada para usahawan dengan topik-topik relevan yang lebih praktikal serta terkini.
“Program ini akan membantu usahawan–usahawan Pulau Pinang terutamanya dalam mempelajari selok-belok industri pengeksportan.
“Secara tidak langsung, para usahawan juga berpeluang berinteraksi secara terus dengan pakar-pakar dari bidang berkaitan bagi mempersiapkan diri masing-masing dengan ilmu berkaitan eksport,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Sementara itu, Reezal ketika berucap sebelum itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana telah mewujudkan rantaian ekosistem yang sempurna untuk industri dan pelaburan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS