Remaja berhenti sekolah awal boleh hadir terus, diiringi waris sah – Exco Kesihatan

SEORANG remaja bersekolah diiringi waris cuba mendapatkan direktif kaedah hadir terus daripada anggota RELA di perkarangan luar PPV Awam dekat SP Arena, Seberang Jaya pagi ini.

SEBERANG JAYA – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dekat SP Arena di sini sejak pagi tadi menerima remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang diiringi ibu bapa atau waris sah secara hadir terus (walk-in).

Mereka hanya perlu meninggalkan kad pengenalan untuk proses pendaftaran; membuat imbasan kod QR; dan membuat saringan suhu badan, sebelum diminta menunggu giliran di khemah khas.

 

REMAJA bersekolah diiringi waris masing-masing sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan pertama vaksin di bawah khemah khas di luar dewan utama SP Arena, Seberang Jaya di sini.

Rata-rata yang dibenarkan hadir terus merupakan pelajar persendirian dari beberapa sekolah sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Tinjauan umum Buletin Mutiara sejak awal pagi tadi mendapati PPV di sini turut menerima lambakan populasi dewasa yang mempunyai janji temu menerusi MySejahtera serta beratur panjang mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, bagi mendapatkan suntikan kedua vaksin.

Pun begitu, menurut seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di kaunter khas hadir terus, sehingga jam 11:00 pagi tadi ada seorang remaja bawah umur dengan diiringi penjaga sah, tetapi tidak dibenarkan mendapatkan suntikan pertama vaksin COVID-19 kerana tiada dalam mana-mana rekod senarai nama yang dibekalkan dalam sekolah-sekolah berkaitannya.

 

DR. Norlela Ariffin

Mengulas mengenai situasi itu, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang dihubungi sebentar tadi berkata bahawa remaja yang berhenti sekolah atau tidak bersekolah boleh mendapatkan suntikan pertama di mana-mana PPV terpilih secara hadir terus, dengan syarat mesti diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

“Remaja bawah umur yang telah berhenti sekolah yang nak mendapatkan suntikan pertama secara hadir terus mesti diiringi ibu bapa.

“Kalau mereka sebatang kara, mesti mendapat persetujuan daripada pengiring yang sah juga iaitu daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), begitu juga bagi remaja yang dalam tahanan, mesti diiringi oleh pegawai yang sah.

“Tanpa persetujuan ibu bapa atau waris atau penjaga yang sah, kalau remaja bawah umur hadir terus ke PPV awam untuk mendapatkan suntikan vaksin, memang tidak boleh,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti semasa dihubungi petang tadi (29 September 2021).

Isnin lepas, Buletin Mutiara membuat tinjauan lapangan mengenai operasi pemberian vaksin kepada remaja berusia 17 hingga 12 tahun di PPV Vangohh Eminent Hotel & Spa dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk.

Di sana, terdapat satu kes terpencil yang mana dua remaja yang telahpun berhenti sekolah cuba mendapatkan suntikan pertama vaksin secara hadir terus, tetapi terpaksa dihalang kerana mereka langsung tidak diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

Susulan itu, seorang pegawai perubatan yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu bahawa pihaknya telahpun merujuk kes terpencil tersebut ke peringkat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Pulau Pinang, untuk mendapatkan ketetapan lanjut.

Petang tadi, Dr Norlela dalam reaksi spontan menjawab persoalan yang dibangkitkan Buletin Mutiara.

Sebagai rekod, proses vaksinasi secara walk-in melibatkan mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta remaja tidak bersekolah dijalankan di PPV SPICE Convention Centre; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; Dewan Perda Convention Centre dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap bermula jam 2:00 petang sejak 23 September 2021.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS