Rempah Shiffa Enterprise, resepi ‘ori’ Penang empat generasi

Admin
e2840b6d dfa4 4047 aee1 f67d7cc6293e

BERKECIMPUNG dalam dunia perniagaan selama lebih 10 tahun, pengusaha Shiffa Enterprise, NOR FARIDAH SARIFF bangkit menjadi usahawan rempah yang berjaya.

Difahamkan, perniagaan tersebut telah diasaskan oleh moyangnya, yang dikenali sebagai Aminammal yang berniaga di Jalan Chowrasta (kini Pasar Chowrasta) pada zaman dahulu kemudian diteruskan oleh beliau kini yang merupakan generasi keempat.

Susulan itu, Nor Faridah sempat berkongsi sedikit sebanyak latar belakang perniagaan yang diusahakan secara turun temurun dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar SITI NURATIKAH RAHMAT pada 22 Oktober lalu.

Latar belakang

Nor Faridah yang merupakan siswazah dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dan komited meneruskan perniagaan turun temurun keluarganya sebagai generasi keempat.

Sewaktu moyang saya berniaga dahulu, dia menggiling rempah secara manual sehingga menjadi pes kemudian dibungkus ke dalam daun pisang, tiada sesiapa mempunyai kemahiran begitu kerana itu ‘skill’ orang lama.

Kemudian, generasi demi generasi mengambil alih sehinggalah tiba giliran saya untuk mengemudi pula perniagaan ini mengikut resepi asli moyang.

Bezanya pada era kini, bungkusan dan pasaran memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk sendiri dan syukur Alhamdulilah, rempah Shiffa semakin dikenali pelanggan lokal serta menepati ekspektasi saya yang ingin membawa identiti ‘Penang’ itu sendiri,” ujarnya sewaktu ditemui di kilangnya dekat sini 22 Oktober lalu.

b3244825 76f2 44f3 b45f f37d4f78aeed
PENGUSAHA Shiffa Enterprise, Nor Faridah.

Tambah Nor Faridah, beliau lebih selesa menembusi pasaran di bahagian Pulau kerana asal usul perniagaan juga dimulakan di situ.

Sudah tentu jika ditanya keinginan untuk mengembangkan perniagaan ke luar saya mahu, cuma buat masa kini saya lebih selesa berada di Pulau Pinang.

Sungguhpun begitu, pelanggan dari luar tetap boleh membeli rempah Shiffa melalui platform atas talian iaitu Shopee dan TikTok.

“Video promosi rempah di TikTok juga boleh mendatangkan pendapatan sampingan yang banyak apabila mencecah jutaan tontonan, dan boleh dijadikan sebagai pekerjaan sampingan bagi generasi muda yang memahiri platform tersebut,” jelasnya lagi.

Keistimewaan rempah Shiffa

Sudah memiliki pensijilan Halal JAKIM dan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri), rempah Shiffa menjadi pilihan rakyat Malaysia.

791e836a 6b31 4ade 80bd 7f5572249165
ANTARA rempah yang kini di pasaran.

“Pada awalnya saya risau untuk menentukan harga produk kerana bahan yang digunakan agak mahal dan menganggap tidak akan dibeli oleh pelanggan.

Tetapi, ibu saya telah memesan bahawa mereka (pelanggan) yang mementingkan kualiti pasti akan membeli, maka dengan itu saya teruskan mementingkan elemen kualiti demi kepuasan pelanggan.

Bungkusan rempah juga tidak seperti jenama yang lain, rempah Shiffa ingin membawa ‘branding’ yang meluas jadi bungkusan juga harus moden dan ‘up to date’.

“Antara rempah yang dipasarkan ialah rempah masala asli Penang; rempah kari kepala ikan asli; rempah qurma; rempah kari ayam daging asli; rempah rasam podi dan juga serbuk kunyit.

“(Dan) kini, rempah Shiffa juga boleh didapati di pasar raya seperti Mydin, Halal Mart, Rosyam Mart dan juga kedai-kedai runcit berdekatan.

Kata Nor Faridah, rempah Shiffa juga turut dijadikan sebagai buah tangan untuk sebarang majlis dan program mengikut kuantiti set rempah yang dimahukan.

Rempah Shiffa turut mencuri perhatian Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dijadikan buah tangan sempena kunjungannya ke Istana Negara bagi menghadiri Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Cabaran dan perancangan

Bercerita mengenai cabaran, Nor Faridah menganggap peristiwa pandemik COVID-19 bakal mengakhiri perniagannya, namun dengan usaha dan kecekalan beliau, Shiffa Enterprise masih teguh berdiri.

492ec099 06b3 45dd b03f ae9a980f1ac0
STAF sedang bersiaran langsung di platform TikTok menjual rempah Shiffa.

“Tidak dinafikan semasa pandemik saya hampir matiakal untuk terus menjalankan perniagaan, saya tidak boleh duduk sahaja dan perlu memikirkan pelan sandaran untuk terus berniaga.

Setelah berjinak-jinak dengan platform TikTok, perniagaan mula stabil dan berkembang sehingga kini, staf saya juga sering membuat siaran langsung menjual rempah Shiffa di ‘beg kuning’.

“Bagi saya, peluang untuk belajar sentiasa ada, bergantung pada diri kita sama ada mahu atau tidak.

Sebagai usahawan, jangan sesekali menanam sikap tidak tahu.. Belajar untuk tahu perkara yang kurang diketahui untuk pengetahuan kita juga,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Nor Faridah turut mneyatakan bahawa modal merupakan antara salah satu cabaran beliau sepanjang menjalankan perniagaan.

“Salah satu penyelesaian yang saya ambil adalah melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

 “Menariknya, melalui pembiayaan pinjaman di TEKUN, sesi latihan dan kursus turut disediakan kepada usahawan yang ingin belajar.

“(Dan) jika bertuah, TEKUN turut membawa usahawan ke luar negara untuk menjalani kursus usahawan dan mendapat lebih pendedahan serta ‘networking’.

Selepas ini juga saya akan menyertai pameran MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Dubai bagi mempromosi lagi rempah Shiffa ke pasaran dunia,” ujarnya.

Menjawab mengenai perancangan masa hadapan, Nor Faridah turut menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dengan usahawan lokal bagi memperkenalkan lagi jenama perniagaan masing-masing.

“Bagi saya, ‘branding beyond the boundaries’, jadi saya rebut peluang sebegini untuk berkolaborasi dengan perniagaan lain seperti ‘Tea Kadai’ yang merupakan sebuah kafe di Lebuh Queen.

“Kafe ‘Tea Kadai’ amat popular dan sering dikunjungi oleh setiap lapisan masyarakat, maka dengan kolaborasi bersama, kedua-dua perniagaan mampu berkembang bersama-sama Insyallah kelak.

“(Dan) perancangan seterusnya saya ingin menyediakan sebuah studio khusus bagi pengiklanan dan promosi secara langsung melalui platform TikTok.

“Jadi, kilang produksi akan berpindah ke kawasan lain, dan kilang (di sini) ditukarkan kepada studio untuk staf bersiaran secara langsung,” ulasnya menutup bicara,