Resah Melayu Kampung Tanjong Tokong

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KAIN rentang yang digantung menyindir pemaju yang digantung di tepi laluan utama.
KAIN rentang yang digantung menyindir pemaju yang digantung di tepi laluan utama.

PEMBANGUNAN menjamin hak, bukan menghilangkan hak”..”Berfikirlah sebelum bertindak!!! Mengapa Uda tidak mahu sain (tandatangan) perjanjian dengan penduduk. Mesti nak tipu…”

Itulah antara dua plakad yang ditampal pada dinding – dinding rumah perkampungan Melayu di Tanjong Tokong dekat George Town.

Pada laluan alternatif ke kampung tersebut, kelihatan kain rentang menyindir pemaju yang berbunyi “10 sifat mulia Uda Holdings Berhad (UDA).”

Tidak sesiapapun rakyat, rata-rata Melayu menurunkan kain rentang penuh kontroversi itu, seolah-olah memberi isyarat kepada UDA supaya tidak terus berdalih dengan Melayu di kampung berkenaan.

Dari kain rentang itu, membawa Buletin Mutiara ke sebuah dewan kayu yang menjadi bilik gerakan Persatuan Suara Penduduk Kampung Tanjong Tokong (PSPKTT).

Dewan itu masih berdiri teguh bersama kira-kira 1,200 atau 97 peratus penduduk yang terus bergelut mempertahankan hak mereka dari dalih pemaju walaupun hampir 50 peratus telahpun berpindak ke ‘rumah panjang’ sementara.

Rumah dan tanah yang dikosongkan telahpun diranapkan. Pagar-pagar dawai telahpun didirikan di situ selepas penduduk berkenaan membeli harapan daripada pemaju.

MOHAMAD Musannif Zainal Abidin.
MOHAMAD Musannif Zainal Abidin.

Pengerusi PSPKTT, Mohamad Musannif Zainal Abidin, 50 yang melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber rezeki berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan pemaju dengan empat syarat yang telah dimaklumkan kepada pihak UDA.

“Kami terpaksa cermat dalam semua ini supaya kami tidak lagi ditipu oleh pemaju.

“Tanpa dokumen perjanjian yang sah pun, berebut-rebut sebahagian kami keluar (ke rumah panjang sementara), tak tahu tiga tahun atau mungkin 10 tahun mereka ditempatkan di sana sebab tidak dinyatakan dalam perjanjian,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tanjong Tokong berkata, sepatutnya di atas tanah tersebut pun dibangunkan projek urbanisasi Melayu, bukan projek komersial sebagaimana sekarang.

Buletin Mutiara difahamkan, sebahagian tanah Tanjong Tokong diserahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak kepada UDA pada awal 1970-an dulu atas harapan dimajukan untuk urbanisasi semula Melayu di tanah bernilai tinggi itu.

Malah, sebahagian lain dari tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, difahamkan, dijual kepada UDA serendah RM1 sekaki persegi untuk memastikan syarikat berkaitan kerajaan pusat (GLC) tersebut masih membina keuntungan selain memelihara kepentingan syarikat.

MOHD. Omar Zainuddin.
MOHD. Omar Zainuddin.

Nada yang sama turut disuarakan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa PSPKTT, Mohd. Omar Zainuddin, 49, yang juga berkerja sendiri.

“Apabila kami rujuk surat tawaran yang dikeluarkan oleh UDA, peguam yang kami lantik sendiri kata surat itu tidak menguntungkan kedua-dua pihak (pemaju dan penduduk).

“Seolah-olah ada helah. Kami semacam cuba ditipu demi membina projek komersial di atas tanah ini,” ujar beliau.

Beliau berkata penduduk tidak menyalahkan pemaju sekiranya mahu membina rumah mewah di atas tanah tersebut.

Namun katanya, pemaju wajar memberi jaminan rumah baru yang munasabah secara percuma kepada
penduduk berwajib.

“Kami cuma nak jaminan, dapat rumah yang seperti yang dipersetujui bersama. Sebab itu, perlu ada perjanjian yang adil di antara pemaju dan kami sebelum tanah ini dikosongkan,” ujarnya.