SIAPA sangka dengan sekadar mencuba nasib dengan berniaga secara kecil-kecilan di Pulau Mutiara kini jenama Chakuey Pandan Original From Thailand menempa nama di hati setiap pengunjung.
Pemiliknya, SAIFUL HARIZAN HUSIN, 29 tidak menyangka rasa istimewa yang terhasil daripada resepi turun temurun keluarganya menjadi kegemaran pengunjung di sekitar Pulau Pinang.
Saiful yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan berhijrah ke Pulau Pinang selepas mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta yang merupakan penduduk Teluk Bahang.
“Sudah lebih kurang lima tahun saya mula berniaga sejak tamat pengajian Diploma Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dan sememangnya hanya berkeinginan untuk menjalankan perniagaan.
“Antara tujuh adik-beradik yang lain, hanya saya yang menetap dan menjalankan perniagaan di Pulau Pinang, manakala mereka yang lain masih berniaga di negeri Kelantan,” ujanya yang turut menyatakan perniagaan yang dijalankan ahli keluarga hanya berasaskan cakoi.
Sementara itu, tapak perniagaan cakoi ini dahulunya di Batu Ferringhi, namun kini sudah berpindah ke lokasi baru iaitu di Tapak Penjaja Sementara Jalan Larut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang lepas.
“Agak berat bagi saya untuk berpindah ke lokasi baru kerana di Batu Ferringhi pengunjung mula mengenali saya dan menu jualan, akan tetapi untuk mengelakkan risiko kemalangan saya turutkan juga.
“Di samping itu, saya juga membuka beberapa lagi cawangan di sekitar Hospital Gleneagles dan Jelutong, tetapi tidak menang tangan selepas komitmen bertambah kerana sudah mempunyai anak kecil.
“Jadi saya hanya fokuskan satu gerai sahaja iaitu di sini (Jalan Larut),” jelanya sambil menyimpan hasrat untuk membuka sebuah kedai yang lebih besar.
Dalam sesi wawancara yang itu juga, Saiful turut berkongsi bahawa beliau juga sedia menerima tempahan untuk majlis perkahwinan atau acara-acara yang dianjurkan.
“Saya turut menerima tempahan untuk majlis perkahwinan yang mana kebanyakannya pada hujung minggu bukan sahaja di sekitar Pulau Pinang, malahan juga di Perak.
“Selalunya saya hanya meletakkan harga RM600 untuk 800 orang makan dan perlu dijalankan di sebuah ‘booth’ bagi memudahkan proses penyediaan bahan, menggoreng dan menghidang.
“Bukan itu sahaja, terdapat juga pelanggan tetap yang meminta untuk sediakan cakoi sejuk beku kerana mereka menetap jauh dan jarang datang ke Pulau Pinang tetapi ingin menyediakannya sendiri,” katanya sambil memaklumkan cakoi sejuk beku itu mampu bertahan sehingga tempoh tiga bulan.
Ditanya pula mengenai cabaran berniaga semasa PKP dan di tempat baharu, Saiful dengan tenang menjelaskan beberapa kesukaran yang dihadapinya untuk kembali stabil seperti hari ini.
“Antara kesukaran yang saya alami ialah perjalanan dari rumah ke kedai yang agak jauh, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas di sekitar sini (Jalan Larut) terutamanya pada hujung minggu.
“Kemudian, pada peringkat awal berpindah ke sini sambutan kurang memberangsangkan kerana Pulau Pinang masih berada dalam tempoh PKP.
“Tambahan pula, orang ramai tidak gemar keluar mencari makanan menyebabkan peniaga kecil seperti saya terasa kesannya,” ujarnya sambil menambah bahawa persaingan di tapak baru tidak terlalu banyak sekali gus mampu menyeimbangkan kembali operasi perniagaan.
Saiful berkata sepanjang bulan Ramadan, operasi perniagaannya sedikit berubah iaitu bermula pada jam 3 petang bertempat di Bazar Ramadan Teluk Bahang.
“Selalunya gerai akan ditutup pada setiap Jumaat, tetapi sepanjang bulan Ramadan ini InshaAllah jika tiada aral perniagaan akan beroperasi setiap hari, seandainya kedai ditutup saya akan memberitahu melalui platform media sosial yang telah anda ikuti.
“Menjelang Aidilfitri pula, jangan risau kerana pada hari raya kedua kami sudah kembali beroperasi pada waktu yang sama sebelum Ramadan di Jalan Larut, cuma janganlah datang pada waktu malam pula,” katanya sambil berseloroh.
Mengakhiri sesi wawancara, Saiful sempat menceritakan impian dan hasratnya untuk memperbesarkan lagi perniagaan pada masa akan datang.
“Menu yang ada kini hanya tiga iaitu chakuey pandan, roti goreng inti kacang merah dan inti ayam, saya akan menambah lagi jenis inti pada masa akan datang bagi menarik lagi minat pengunjung.
“Impian untuk membuka sebuah kedai sendiri sentiasa menjadi pemangkin semangat untuk saya, jika ada rezeki saya juga ingin memperkenalkan pula masakan Thailand seperti nasi khomok (briyani ala Thailand) dan ayam goreng berempah disertakan juga kafe minuman,” tambahnya yang juga bakal menyediakan perkhidmatan penghantaran kelak.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI