PENDUDUK di sekitar Seberang Perai, terutamanya yang tinggal di kawasan Permatang Pauh mungkin ramai mengenali atau pernah mendengar tentang ‘Mee Rebus Pak Yob’.
Namun, mungkin hanya segelintir sahaja yang mengetahui cerita di sebalik kejayaan perniagaan ‘Mee Rebus Pak Yob’ kekal hingga lebih 40 tahun, dan kini diwarisi oleh anak lelakinya, ANUAR HARUN, 45.
Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD berkesempatan menemu bual pemiliknya dan merasai sendiri keenakan mi rebus yang agak popular tersebut.
Menurut Anuar, resipi rahsia turun-temurun yang dihasilkan oleh keluarganya sejak perniagaan itu dimulakan lebih 40 tahun lalu menjadikan rasa mi rebus Pak Yob kekal sehingga ke hari ini.
“Ramai pelanggan yang mengunjungi kedai kami sejak arwah ayah masih ada lagi memberitahu bahawa rasa mi rebus yang dihidangkan tidak berubah walaupun sudah mencecah 40 tahun.
“Rasa yang sama ini mungkin disebabkan kami masih menggunakan resipi rahsia ciptaan keluarga sejak turun-temurun selain memastikan bahan-bahan yang digunakan adalah segar dan bersih.
“Disebabkan itu jugalah ramai pelanggan sama ada penduduk tempatan atau dari luar kawasan akan datang kembali untuk merasai mi rebus kami selepas mereka mencuba untuk kali pertama,” katanya yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata sambil tersenyum mesra.
Anuar berkata, apabila ayahnya meninggal dunia, beliau yang merupakan anak tunggal dalam keluarga bertanggungjawab menyambung legasi perniagaan ‘Mee Rebus Pak Yob’.
“Saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan mi rebus sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira 27 tahun lalu dan pada ketika itu saya hanya membantu ayah saya.
“Namun, selepas ayah saya meninggal dunia, saya telah mengambil alih perniagaan ini sepenuhnya sambil dibantu oleh ibu saudara saya yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Kiah’ sehinggakan ada pelanggan yang turut kenal perniagaan kami dengan nama ‘Mee Rebus Kak Kiah’.
“Tidak kisahlah nama apa sekalipun tetapi yang lebih penting adalah kami bersama-sama berusaha menjaga kualiti masakan mi rebus terutamanya dari segi rasa untuk memastikan para pelanggan setia datang ke kedai kami.
“(Dan) kebanyakan pelanggan yang datang sebenarnya adalah pelanggan tetap sejak dari masa arwah ayah meniaga lagi,” ujarnya.
Tambah Anuar, setiap hari beliau menggunakan sebanyak 10 kilogram (kg) mi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak pernah putus.
“Kedai kami beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 5 petang dan kebiasaannya pelanggan lebih ramai pada hujung minggu.
“Ramai juga pelanggan luar yang datang terutamanya dalam kalangan pendaki bukit… selepas selesai mendaki kebanyakan mereka akan datang ke sini untuk menikmati mi rebus,” katanya yang turut aktif dalam aktiviti mendaki bukit di sekitar Pulau Pinang.
Ditanya mengenai keadaan perniagaannya semasa pandemik, Anuar menyatakan bahawa operasi ‘Mee Rebus Pak Yob’ berjalan seperti biasa tetapi pendapatan sedikit berkurang memandangkan pelanggan adalah dari kawasan setempat sahaja.
“Semasa pandemik, hasil jualan agak merosot kerana kami hanya jual untuk bungkus sahaja.
“Makanan yang dipesan akan dihantar sendiri oleh saya kerana kami tidak menggunakan sebarang perkhidmatan penghantaran secara dalam talian seperti ‘FoodPanda’, ‘GrabFood’, ‘LalaMove’ dan sebagainya,” ulasnya sambil menambah bahawa beliau kini sedang mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut bagi tujuan meningkatkan hasil jualan.
Mengulas lanjut, Anuar menyatakan bahawa selain pelanggan biasa, premis miliknya turut dikunjungi oleh tokoh- tokoh politik dan wakil rakyat dengan yang terbaru adalah kunjungan daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow
“Dulu, semasa Datuk Seri Wan Azizah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau selalu juga datang makan mi rebus di sini dan sekarang anaknya pula YB Nurul Izzah kerap mengunjungi kedai kami.
“Selain itu, ada juga beberapa tokoh- tokoh politik lain yang datang merasa mi rebus di kedai kami dan paling mengujakan adalah apabila Ketua Menteri sendiri yang berkunjung baru-baru ini.
“Sebenarnya, semasa beliau datang itulah kali pertama saya berpeluang berjumpa dengan Ketua Menteri secara bersemuka… sebelum ini pernah dengar namanya sahaja,” katanya menutup mbicara.
Nasi Ayam Mamallah makin popular
Pada kesempatan sama, pasukan Buletin Mutiara turut meluangkan masa berkunjung ke premis perniagaan Nasi Ayam Mamallah yang turut mendapat perhatian Ketua Menteri semasa Jelajah PENANG ke Parlimen Permatang Pauh pada Julai lalu.
Pemiliknya, FAZILAH ABBAS, 53, ketika ditemui berkata bahawa perniagaan Nasi Ayam Mamallah dimulakan sejak tujuh tahun lalu selepas beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Sebelum ini, saya bekerja ambil upah sebagai tukang masak tetapi saya mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan sendiri memandangkan saya mempunyai kemahiran memasak.
“Saya bermula dengan menjual kuih secara kecilan-kecil sahaja yang mana kuih yang saya hasilkan dijual di premis-premis perniagaan makanan di sekitar kawasan ini.
“Lebih setahun kemudian, timbul idea untuk saya menjual nasi ayam memandangkan produk ini masih kurang dijual di sini dan alhamdulillah… ada rakan yang baik hati menawarkan saya untuk menyewa premis perniagaan miliknya.
“Bermula dari situlah, saya menjalankan perniagaan nasi ayam secara lebih serius sehingga hari ini,” katanya memulakan bicara.
Fazilah berkata, beliau mempelajari cara memasak nasi ayam sewaktu bekerja mengambil upah memasak di sebuah kedai menjual nasi ayam dan mula menghasilkan resipi sendiri untuk menambahkan lagi keenakan nasi ayam yang dijual.
“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penjawat awam yang bekerja di sekitar Kawasan ini… sebab itulah kalau dapat lihat pelanggan lebih ramai sewaktu rehat.
“Selain datang sendiri ke kedai, ada juga pelanggan yang memesan secara bungkus terutamanya untuk program-program seminar serta mesyuarat.
“Setakat ini, permintaan terhadap nasi ayam semakin bertambah di samping beberapa menu lain seperti masakan panas dan bihun sup,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fazilah menyatakan bahawa lokasi kedainya yang terletak di tepi jalan utama di Mengkuang Semarak, Kubang Semang menjadi antara faktor perniagaannya terus berkembang maju.
“Ruang parkir di hadapan kedai ini yang luas dan selesa dilihat telah memudahkan orang ramai berhenti untuk menikmati juadah di sini,” ujarnya lanjut.
Tambah beliau, sebanyak 60 hingga 70 hidangan nasi ayam mampu dijual setiap hari sejak perniagaannya mula dibuka pada jam 11 pagi hingga 7 malam.
“Permintaan nasi ayam biasanya lebih banyak pada waktu pagi sampai ke tengah hari manakala pada waktu petang, saya lebih fokuskan kepada masakan panas.
“Alhamdulillah.. setakat ini permintaan pelanggan untuk nasi ayam dan menu-menu lain sentiasa ada setiap hari,” jelasnya.
Turut berkongsi rasa teruja dengan kedatangan Ketua Menteri ke kedainya baru-baru ini, Fazilah juga menyatakan bahawa kunjungan itu sangat bermakna kepada beliau.
“Sebelum ini saya tidak pernah berpeluang bersemuka dengan Ketua Menteri.. dan apabila beliau datang ke sini baru-baru ini saya memang rasa gembira.
“Malah, Ketua Menteri turut menyampaikan plak sebagai tanda beliau pernah hadir ke kedai ini dan ia sesuatu yang sangat mengujakan,” katanya sambil tersenyum mesra.