KERJA-KERJA pembaikan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong kini masih lagi dilaksanakan serta dalam proses pemasangan papan tanda dan fasiliti yang berkaitan.
Kerja-kerja pembaikan dijangka disiapkan pada tahun ini sebelum dibuka kembali kepada orang awam kelak.
Baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN berpeluang membuat tinjauan lapangan serta mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak berkenaan mengenai kerja pembaikan dan penaiktarafan terminal tersebut.
Pemangku Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), NORMADIAH DESA menyatakan bahawa kerja pembaikan sedang berjalan dengan lancar dengan pemantauan secara langsung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Setiap bulan akan diadakan mesyuarat mengenai kemas kini kerja pembaikan yang sedang berjalan ini, barisan Ahli Majlis MBPP juga turut turun padang membuat pemantauan lanjut.
“Selain itu, kerja pembaikan juga hampir siap dan hanya perlu menambah beberapa elemen fasiliti, pihak pengurusan dan juga MBPP akan memaklumkan semula tarikh pelancaran pada masa akan datang,” ujarnya menerusi perbualan telefon.
MUHAMMAD MUNAWWAR MOHD. ALI yang merupakan staf di Bahagian Teknologi Maklumat (IT) pula berkongsi lanjut mengenai langkah-langkah yang perlu dipenuhi memandangkan sistem sudah perkhidmatan baharu tidak pagi seperti dulu.
“Kini, pelanggan hanya perlu menaiki lif atau eskalator yang tersedia di bangunan baharu, kemudian naik ke tingkat atas, setelah daftar masuk tiket di kaunter tiket, mereka perlu berjalan ke bahagian hujung untuk mengimbas tiket dan turun ke platform masing-masing.
“Terdapat juga yang masih keliru dek ketiadaan papan tanda, oleh itu pihak kami di sini akan mecuba sedaya upaya untuk memberi bimbingan dan panduan kepada pelanggan yang datang,” jelasnya lanjut.
Seorang responden, MOHD. KAMIL ISMAIL memuji kerja pembaikan ini juga merupakan salah satu inisiatif yang bagus dan wajar dilakukan.
“Umum mengetahui Pulau Pinang merupakan hab pelancongan yang sering dikunjungi pelancong luar, terminal ini merupaka ‘one stop centre’ mereka untuk meneroka tempat menarik.
“Oleh itu, elemen pemodenan seperti ini wajar dilakukan dan diharapkan ia bakal setanding efisien seperti Penang Sentral dan juga Terminal Bersepadu Selatan (TBS), banyak lagi fasiliti seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan lain-lain lagi,” responnya yang juga merupakan pemandu teksi lebih 20 tahun.
Di samping itu, menurut ISMAIL IBRAHIM, 61, beliau turut mengharapkan kemudahan dari segi kewujudan jurubahasa juga wajar disediakan.
“Pelancong dari serata dunia datang ke sini dan ada juga diantara mereka yang tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, agak sukar bagi sesiapa di sini hendak memberi panduan kepada mereka.
“Oleh itu, diharapkan banyak kemudahan boleh disediakan oleh pihak pengurusan bagi memudahkan pelanggan yang datang serta staf-staf di sini,” cadangnya.
Seorang penjaja, ABDULLAH HAMID MYDIN memberitahu Buletin Mutiara bahawa inisiatif berkenaan amat bagus dan diharapkan tiada sebarang pihak meminggirkan penjaja dan juga pemandu teksi di terminal.
“Saya telah berniaga di sini sejak tahun 2005 dan menyokong kerja pembaikan yang sedang dijalankan, diharapkan pelanggan juga semakin ramai datang ke sini untuk menggunakan perkhidmatan yang tersedia.
“Perkhidmatan bas RapidPenang serta teksi turut tersedia di sini, oleh itu pelanggan tidak perlu khuatir dengan kemudahan yang telah sedia ada, mereka cuma sedikit keliru kerana belum ada papan tanda diletakkan sahaja” katanya sambil menyatakan beliau turut memberi panduan terhadap pelanggan yang bertanya.