HOSPITAL Pulau Pinang (HPP) sedang menjalankan dua projek penarafan berskala besar demi meningkatkan kapasiti hospital kerajaan tersebut yang mana sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Selain projek menaik taraf blok ibu dan anak, satu lagi projek penaiktarafan berskala besar yang telahpun mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah cadangan pembinaan blok bangunan setinggi 14 tingkat yang akan memuatkan tapak parkir bertingkat (aras 2 hingga 7), klinik pakar (aras 1 hingga 11), dan wad pesakit (aras 12 hingga 14).
Pada 19 Februari 2025 lepas, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkesempatan mengadakan lawatan tapak dua projek berskala besar di hospital awam tersebut, yang kedudukannya berhampiran Padang Polo di sini.
Menjelang tengah hari ini (21 Februari 2025), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama wartawan pelatih, NUR BATRISYIA IDRUS dan jurugambar, LAW SUUN TING berpeluang membuat tinjauan lapangan serta mendapatkan respons lanjut mengenai dua projek penaiktarafan berskala besar di hospital tersebut.

Peniaga, SAIFUL AZWAN ABDUL MALIK, 47, berkata sepatutnya Hospital Pulau Pinang ini memang wajar dinaik taraf ke arah ‘vertical hospital’ dengan mengambil kira bank tanah yang begitu terhad di samping peningkatan populasi penduduk berbanding kapasiti sebenar sektor perkhidmatan kesihatan awam yang ditawarkan di hospital kerajaan.
“Sepatutnya sudah lama Hospital Pulau Pinang ini bergerak ke arah ‘vertical hospital’.
“Apabila telah ada ‘lampu hijau’ KKM dan Hospital Pulau Pinang untuk melaksanakan dua projek penarafan berskala besar di hospital ini, ia sekali gus melambangkan Kerajaan Madani yang ada pada hari ini serius mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam untuk rakyat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha KKM menaik taraf infrastruktur kesihatan bukan sahaja menyumbang pada peningkatan kapasiti perkhidmatan di Hospital Pulau Pinang, malah turut memendekkan tempoh menunggu atau janji temu para pesakit untuk berjumpa doktor atau pakar.
“Seringkali digambarkan oleh segelintir pihak konon-konon mutu perkhidmatan kesihatan awam di hospital kerajaan adalah tidak bagus, berbanding hospital swasta yang mana para pesakit tidak perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor.
“Isu sebenar adalah lambakan pesakit; kalau hospital kerajaan tak bagus perkhidmatan, takkan rakyat khususnya pesakit lebih memilih hospital kerajaan dengan fi bayaran yang lebih berpatutan berbanding hospital swasta.
“Jadi, apabila KKM meningkatkan kapasiti perkhidmatan dengan membina blok 14 tingkat di Hospital Pulau Pinang, saya sangat berharap selepas ini tidak ketara lagi isu pesakit terpaksa tunggu lama untuk bertemu doktor atau pakar,” katanya yang juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzukefly Ahmad.

Bagi NATASYA ELISSA IBRAHIM, 30, pula berpendapat bahawa dua projek berskala besar itu akan meningkatkan kapasiti sekarang dan pada masa hadapan.
“Saya rasa wajar menaik taraf bangunan untuk menambah kapasiti pesakit.
“Lebih wajar jika bina bangunan yang lebih banyak tingkat dan parkir aras bawah kerana akan memudahkan pelawat yang datang melawat pesakit di wad,” katanya.

Nada hampir serupa turut dikongsi okeh seorang petugas keselamatan, MUHAMMAD MUZAKIR ROSLI, 27.
“Jumlah petak parkir perlu ditambah untuk pelawat; ambulans tak dapat berhenti di tempat sepatutnya atas faktor-faktor kesesakan dan kekurangan parking.
“Pernah ada pelawat yang disaman semasa parking di bahu jalan kerana menyekat laluan bas,” jelasnya sambil memuji usaha kementerian dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam di Hospital Pulau Pinang.
Mahu dikenali sebagai ‘Kak Maisarah’, 42, beliau bersetuju jika KKM turut membina kembali satu klinik pesakit luar untuk mengelakkan kesesakan di dalam hospital berkenaan.
“Wajar kalau buka satu klinik untuk pesakit luar untuk mengelakkan kesesakan di dalam hospital.
“Hospital hanya untuk pesakit yang memerlukan pakar sahaja dan pesakit yang tidak kronik boleh terus ke klinik luar,” ujarnya.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa pihak hospital perlu menambah jumlah petugas barisan hadapan kesihatan supaya sejajar dengan keperluan memenuhi kapasiti hospital yang kian ditingkatkan, kelak.
“Pesakit banyak bersesak dengan orang lain semasa ingin membuat pemeriksaan doktor kerana kekurangan kakitangan.
“Jangan luas lantai hospital kian bertambah, tapi jururawat dan doktor masih dalam saiz sama; akhirnya pesakit terpaksa menunggu lama juga untuk berurusan di sini,” katanya lagi.