Responden puji perkhidmatan tambang feri tanpa tunai, mesra pelanggan

Admin
DARI dalam perut Feri Baharu Pulau Pinang, kelihatan KOMTAR atau Kompleks Tun Abdul Razak yang menjadi mercu utama bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini.
TINJAUAN umum penumpang pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan Feri Baharu Pulau Pinang di Pengkalan Raja Tun Uda, George Town pada awal pagi tadi (7 September 2023).

MULAI hari ini, 7 September 2023, semua kategori penumpang feri baharu Pulau Pinang dikenakan tambang dalam kasar rata untuk sehala perjalanan, selepas perkhidmatan pengangkutan awam yang menghubungkan Seberang Perai ke bahagian Pulau beroperasi secara percuma selama satu bulan.

Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) iaitu syarikat pengendali perkhidmatan feri itu dalam suatu kenyataan bertulis semalam memberitahu tambang bagi kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun ditetapkan pada kadar RM1, sementara RM2 untuk semua penumpang kategori pejalan kaki yang lain.

Bagi penumpang yang menunggang basikal pula, kadar tambang ditetapkan pada kadar RM2 untuk sehala perjalanan, manakala RM2.50 bagi penunggang motosikal.

GAMBAR dua pengunjung sedang membuat pembayaran tanpa tunai dengan menggunakan kad Touch’nGo di pintu masuk ke jeti feri dekat Penang Sentral, Butterworth pada awal pagi tadi.

Sekitar jam 8.00 pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan menimba pengalaman sendiri menaiki feri jenis katamaran tersebut bersama-sama pejalan kaki yang lain.

Di kaunter masuk, kelihatan hampir tidak ada ‘bottlenecking’ sungguhpun semasa itu adalah waktu puncak orang awam ke pejabat; mungkin disebabkan sistem pembayaran tanpa tunai.

Tinjauan mendapati rata-rata penumpang kategori pejalan kaki memanfaatkan kemudahan kad Touch ‘n’ Go masing-masing, sungguhpun PPSB turut menyediakan kaedah pembayaran secara dalam talian dengan membuat imbasan kod QR berwajib.

NAZIRAH Mohd. Noor

Mengaku sebagai pengguna tegar perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang, NAZIRAH MOHD. NOOR, 32, berkata pada hari ini lambakan pengunjung adalah sederhana sahaja berbanding sebelum ini iaitu sejak perkhidmatan feri baharu itu beroperasi secara percuma sejak 7 Ogos lepas.

“Saya tinggal di George Town, bahagian Pulau, boleh dikatakan kerap juga menggunakan perkhidmatan feri ini jika ada acara rasmi berkaitan kerjaya saya di bahagian Seberang Perai.

“Pada hari ini pun, saya memilih untuk menggunakan feri kerana ada acara berkaitan kerjaya saya di Seberang Jaya.

“Berbanding sebelum ini, saya dapati tidak ramai penumpang (pejalan kaki) semasa saya menaik feri pasa pagi ini berbanding sebelum ini – penunggang motosikal pun ada dalam 10 buah sahaja – mungkin kerana pada hari ini dah mula bayar tambang.

“Kalau dahulu, kita hanya perlu bayar tambang untuk masuk ke Pulau sahaja, sekarang pergi dan balik perlu bayar tambang,” ujarnya sambil menganggap kadar tambang yang ditetapkan itu masih dalam koridor berpatutan untuk semua lapisan masyarakat.

ROSALINDA Rasli

Bagi ROZALINA RASLI, 47, pula berkata bahawa beliau bersama-sama beberapa guru pra sekolah pada hari ini memang ada rancangan untuk membawa para pelajar Tadika KEMAS Arau Perlis untuk menaiki feri baharu Pulau Pinang dan makan angin di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kami dari Perlis, baru sampai di Penang Sentral (dekat Butterworth), sejujurnya belum ada pengalaman lagi menaiki feri baharu ini.

“Tetapi, kalau kaedah pembayaran tambang sehala adalah secara tanpa tunai, kita boleh jangka pengunjung mungkin tak payah beratur panjang semata-mata untuk membeli tiket.

“Di samping itu, kekerapan perjalanan feri baharu Pulau Pinang mungkin akan mengikut jadual yang ditetapkan, tidak seperti perkhidmatan feri dari Kuala Perlis, Perlis yang mesti mengambil kira pasang surut air laut juga walaupun ada jadual perjalanan,” jelasnya lagi sambil memuji infrastruktur awam mesra semua gender di sekitar Penang Sentral.

ZARALIN Main

Tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang lagi responden, ZARALIN MAIN, 36, berkata bahawa beliau baru tiba di Penang Sentral untuk percutian singkat dua hari satu malam.

Bekerjaya sebagai Penolong Pengurus sebuah firma perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) bukan kerja terkenal negara, Zaralin berkata kali terakhir beliau menaiki feri baharu Pulau Pinang adalah semasa bulan Disember tahun lepas.

“Mungkin akan masuk (bahagian) Pulau – bergerak melalui feri juga – sebab di sana ada banyak tempat pelancongan menarik.

“Bagi saya, insiatif pengurusan menyediakan perkhidmatan tambang tanpa tunai adalah bagus untuk semua pelanggan.

“Cuma, kebimbangan saya, warga emas yang tiada kad Touch ‘n’ Go atau tidak pernah membuat transaksi tanpa tunai, mungkin akan kekok jika pertama kali mahu menaiki feri (baharu Pulau Pinang) di sini,” jelasnya lagi.

FERI Baharu Pulau Pinang turut menyediakan kemudahan pengangkutan awam untuk penunggang motosikal dan basikal.
JADUAL perjalanan Feri Pulau Pinang.