Responden sambut baik hasrat Kerajaan Pusat salur dana tambahan projek LRT di Pulau Pinang

Admin

PADA Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani pada 6 Mei lepas, Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat yang diterajuinya bakal menyalurkan dana tambahan bagi membantu menyegerakan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang kelak.

 

 

 

Hal ini sedikit sebanyak, katanya, akan meredakan masalah aliran trafik negeri ini yang dilihat semakin kritikal.

 

 

Susulan itu juga, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, dengan pengumuman Perdana Menteri makan secara prinsipnya projek berkenaan ‘diambil alih’ oleh Kerajaan Pusat.

 

 

Namun, katanya, modul serta mekanisme berkaitan pembiayaan tersebut masih perlu dibincangkan dengan terperinci sebelum projek tersebut dimuktamadkan nanti.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri menzahirkan rasa gembira sambil menyifatkan pengumuman tersebut sebagai ‘hadiah’ terbaik Aidilfitri untuk rakyat di negeri ini.

 

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan Jurufoto LAW SUUN TING sempat menemu bual beberapa orang responden berkenaan ‘buah tangan’ tersebut kepada rakyat Pulau Pinang.

 

Bagi kakitangan awam, FARID MAULUD, beliau menyokong penuh idea melaksanakan projek pengangkutan berteraskan rel itu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini dan menyambut baik kesudian Kerajaan Pusat untuk membiayai projek berkenaan.

 


“Cuma kalau boleh stesen LRT itu sendiri perlu dikaji secara teliti agar ia mencapai matlamat untuk kegunaan rakyat negeri ini dari segi lokasi yang strategik dan dekat dengan lokasi berpenduduk padat.

 

 

  

“Satu lagi adalah kemudahan seperti park and ride, saya bimbang sekiranya perkara ini tidak diambil kira timbul pula masalah lain seperti parkir yang tidak teratur, kacau ganggu lalu lintas dan sebagainya,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Seorang lagi kakitangan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), ANIS ZAWANI OTHMAN, turut menyokong hasrat berkenaan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh orang ramai.

  

 

“Pengangkutan awam sedia ada kepada PIA adalah terhad dan masih berdepan masalah kesesakan pada waktu puncak yang secara tidak langsung memberi impak kepada industri pelancongan.

  

LIANG YEE KAI dalam pada itu berpendapat, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, jajaran LRT secara tidak langsung mampu memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

  

“Sekarang masalah lalu lintas menjadi satu perkara besar yang perlu difikirkan oleh kerajaan, jadi pengurangan masalah kesesakan lalu lintas akan membolehkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memikirkan tentang soal pembangunan lain,” jelas kakitangan swasta itu.

Memacu Pulau Pinang ke arah sebuah bandar raya antarabangsa, itu yang dilihat oleh EMILEE TAN ketika ditemu bual oleh Buletin Mutiara.

 

“Tambahan pula Malaysia juga tidak lari dari menuju sebagai negara ‘tua’ tidak lama lagi, kemudahan LRT dilihat pastinya akan memudahkan pergerakan mereka (warga emas) berbanding memandu atau menaiki motosikal di Pulau Pinang.

 

“Kalau dilihat di negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun, rangkaian rel mereka banyak menggunakan laluan bawah tanah yang mana mampu menjadi langkah penjagaan alam sekitar dalam mengurangkan kesan pembinaan dan pencemaran.

 

 


Seorang lagi responden,
JUN OOI juga bersetuju tentang pembinaan LRT di Pulau Pinang.

 


“Cuma saya berharap apabila ia dibina, kesan kepada alam sekitar dapat dikurangkan sambil menjaga bangunan-bangunan warisan yang sudah sebati dengan imej negeri ini,” katanya.

 

 

Sebagai rekod, projek LRT dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Bayan Lepas itu adalah sebahagian daripada projek yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP). Ia merangkumi jajaran hampir 30 kilometer melibatkan 27 stesen melalui kawasan Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan seterusnya di tapak tebus guna projek tambakan laut di selatan pulau yang bakal dikenali sebagai ‘Pulau Silikon’.