Responden sambut baik penganjuran PBIM 2022 Disember ini

Admin

ACARA larian terbesar di Malaysia, Penang Bridge International Marathon (PBIM) akan kembali pada 11 Disember 2022 ini sepertimana yang diumumkan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin baru-baru ini.

Ini sejajar dengan syarat-syarat fasa peralihan ke endemik yang membenarkan acara sukan seperti itu dianjurkan semula setelah dua tahun terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, wartawan Buletin Mutiara WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto, DARWINA MOHD. DAUD sempat menemu ramah beberapa responden untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai penganjuran PBIM 2022.

Pengerusi Association of Tourism Attractions Penang, (ATAP), CH’NG HUCK THENG ketika dihubungi berpendapat, acara larian berskala besar seperti PBIM sudah pasti akan memberi impak kepada industri pelancongan.

“Apabila penganjuran seperti ini sudah dibenarkan saya yakin pelbagai acara lagi akan berlangsung selepas ini, kita tidak boleh menunggu lagi.

“Walaupun banyak industri mengalami kekurangan tenaga kerja, saya percaya sekiranya acara besar seperti ini dianjurkan, ia akan mewujudkan satu rantaian untuk menghidupkan kembali sektor ekonomi.

“Jadi pihak kerajaan perlu mainkan peranan, perbanyakkan aktiviti seperti ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” jelas beliau.

Bagi peniaga kasut di tingkat dua, Komtar, TOMMY OOI memberitahu bahawa beliau dan isteri akan mengambil bahagian dalam acara full marathon pada PBIM 2022 kali ini.

“Saya harap apabila PBIM berlangsung semula, perniagaaan saya juga akan kembali baik selepas mengalami kemerosotan dalam tempoh dua tahun ini,” responsnya sambil berharap agar para peserta yang ingin menambil bahagian boleh dapatkan diskaun menarik di premis beliau.

Bagi Pengerusi Malaysian Association of Hotel (MAH) Penang Chapter, TONNY GOH pula, penganjuran PBIM akan menggalakkan lagi kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri Pulau Pinang.

“Saya percaya kadar tempahan hotel mampu mencapai 70 hingga 80 peratus ketika minggu PBIM dianjurkan.

“Penganjuran acara seperti ini akan menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti pelancongan yang lain.

“Saya juga percaya kemudahan dan hospitaliti industri pelancongan Pulau Pinang akan pulih dalam sedikit masa sahaja lagi,” katanya.

 

Salah seorang pelari, FISOL KHALIB yang tidak pernah melepaskan peluang menyertai PBIM menzahirkan perasaan gembira apabila acara tahunan itu dikembalikan.

 

“Saya rasa, inilah acara yang amat dinantikan, untuk kembali berlari di acara larian yang paling gemilang di Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Soon Hin dalam kenyataan media menyasarkan seramai 25,000 penyertaan bagi penganjuran PBIM kali ini.

“Pihak kami bercadang utuk mengehadkan penyertaan kepada 25,000 orang sahaja bagi memudahkan aspek kawalan perserta.

“Bagi yang sudah mendaftar pada tahun 2020, pendaftaran secara automatik telah dilaksanakan untuk penyertaan tahun ini,” ujarnya.

Seperti kebiasaan, PBIM 2022 menampilkan tiga acara utama iaitu 42 kilometer (km) full marathon, 21km dan 10km sahaja, tanpa fun run.