Responden tidak setuju pengoperasian kedai gunting rambut

GEORGE TOWN – Rata-rata responden yang ditemui pagi ini tidak bersetuju dengan pengoperasian kedai gunting rambut yang disifatkan mampu menjadi kluster baharu dalam penyebaran wabak COVID-19.

Tinjauan Buletin Mutiara pagi ini ke sekitar George Town juga mendapati kedai gunting rambut di bandar raya ini sama sekali tidak beroperasi mematuhi saranan Kerajaan Negeri agar arahan tersebut dikaji semula diperingkat pusat.

 

Bagi Pengawal Keselamatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) R. Sivakumar, 33 tahun adalah lebih baik sekiranya kedai gunting rambut ini terus ditutup.

 

“Jangan buka lagi, stop dahulu, jika kedai gunting (rambut) ini buka akan buatkan lebih ramai orang nak keluar dan menjadikan kebarangkalian penyebaran wabak COVID-19 ini adalah tinggi.

 

“Untuk badan beruniform macam kami ini kena pandai-pandailah ikhtiar untuk pastikan kekemasan rambut tetap terjaga sebagaimana disiplin dalam badan beruniform,” ujarnya ketika bertugas di pejabat Exco pagi ini.

Turut menyuarakan pendapat mengenai pembukaan kedai gunting rambut adalah Pegawai Khas bagi Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Syed Abdul Rahmad Syed Jaafar, 30-an.

 

“Perkara ini ada kebaikan dan ada keburukan, tetapi bagi saya lebih banyak kepada keburukan kerana ianya melibatkan sentuhan dengan pelanggan dan tukang gunting jadi ianya boleh menjadi faktor penularan wabak COVID-19 ini.

 

“Harap kementerian berkaitan boleh kaji balik arahan tersebut supaya ianya tidak menjadi kluster baharu dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujar Abdul Rahman kepada Buletin Mutiara.

Sementara itu, Koay Gaik Kee, 33 tahun yang bertugas di Pejabat Exco, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar berpendapat, pembukaan kedai gunting rambut bukanlah satu keperluan penting.

 

“Saya langsung tidak menyokong pembukaan perkhidmatan kedai gunting rambut, ianya bukanlah satu perkara yang sangat penting di dalam kita melawan COVID-19 ini.

 

“Proses menggunting rambut ini membuatkan pelanggan dan tukang gunting berada pada jarak yang amat dekat dan bersentuhan, ini merupakan salah satu cara mudah COVID-19 ini menular.

 

“Dan keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan perkhidmatan ini dibuka adalah satu langkah bijak, jadi bersama-sama kita lawan COVID-19,” tegasnya.

Mohd Khalis Mohammad Noor, 23 tahun yang juga pemilik kedai gunting rambut Khalis’s Barbershop telah memilih untuk menutup kedainya sehingga tamat tempoh PKP kerana percaya virus ini amat mudah merebak.

 

“Meskipun pelitup mulut dan sarung tangan dipakai sewaktu menggunting rambut, namun ia mungkin belum memadai kerana kita (tukang gunting) belum pasti pelanggan itu datangnya dari mana dan berkemungkinan pembawa virus.

 

“Tetapi jika sesiapa perlu memotong rambut buat masa sekarang, saya sarankan mereka untuk pergi mendapatkan perkhidmatan ini dengan kenalan rapat yang diyakini bebas dari sebarang virus merbahaya ini,” tambahnya.

Dalam masa sama, Aiman Fayyadh Mohd Ziyad, 25 tahun yang bekerja di The Kapit’s melontarkan pandangan bahawa pembukaan perkhidmatan kedai gunting rambut perlu ditangguh buat sementara waktu dahulu.

 “Gunting rambut dan cukur jambang sendiri di rumah masing-masing, tak perlulah terlalu cerewet hendak mengenakan sebarang gaya buat masa sekarang kerana tiada sesiapa yang melihat.

 “Kita sudah berada dalam proses untuk memutuskan rantaian tetapi jika perkara seperti pembukaan perkhidmatan ini dipandang enteng, ianya tidak mustahil untuk Malaysia tampil dengan kluster baru,” maklum Aiman Fayyadh.

Difahamkan tengah hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan bahawa semua operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SITI FATIMAH HUZAIDI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : CHAN KOK KUAN