BERTAM – Pentadbir Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyambut baik inisiatif persatuan sekerjanya mengadakan interaksi dua hala membabitkan pekerja am peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) baru-baru ini.
Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, pertemuan sebegitu membantu jawatankuasa kecil spesifikasi untuk menyediakan peralatan bersesuaian dengan kehendak pekerja am majlis.
“Idea penubuhan jawatankuasa (kecil) spesifikasi ini sebenarnya adalah hasil interaksi dua hala dengan pekerja-pekerja am peringkat operasi sendiri.
“Kadang-kadang, kita membeli peralatan baru untuk kemudahan bekerja, tetapi, tidak sesuai dengan kehendak pekerja kita.
“Jadi, jawatankuasa (spesifikasi) ini akan mendapatkan maklum balas pekerja am terlebih dahulu mengenai peralatan yang diperlukan oleh mereka sebelum kita (pentadbiran) membeli,” ujarnya di depan hampir 500 pekerja am sekitar SPU di dewan Kompleks Sukan MPSP di sini.
Hampir semua Ketua Jabatan MPSP hadir pada majlis interaksi dua hala tersebut.
Difahamkan, Maimunah sebelum itu turut menghadiri majlis serupa peringkat SPT dan SPS. Maimunah berkata, kejayaan tadbir urus MPSP selama ini pun sebenarnya tergantung kepada sikap kebersamaan serta kebertanggungjawaban dalam kalangan majikan dan pekerja.
Justeru, beliau berkata, MPSP akan terus memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja demi meningkatkan kualiti tadbir urus majlis.