Respons positif, 57.4% pungutan hasil berjaya dikutip melalui inisiatif tanpa tunai

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah RM286,946,827.78 iaitu 57.4 peratus daripada keseluruhan kutipan hasil di bawah 23 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah berjaya dikutip melalui inisiatif tanpa tunai e-pembayaran.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah tersebut melibatkan 709, 392 transaksi pembayaran yang dilakukan dari 1 Januari hingga 30 April 2021.

Jelasnya, perkembangan positif tersebut adalah sejajar dengan Dasar Mewajibkan Sekurang-kurangnya Satu Platform Kutipan Hasil Secara Tanpa Tunai yang diluluskan Kerajaan Negeri pada September 2020.

“Ini menunjukkan inisiatif pintar yang dibangunkan menerima respons positif daripada rakyat Pulau Pinang umumnya.

“Secara tidak langsung teknologi pintar ini membantu kita (Kerajaan Negeri) memerangi pandemik COVID-19 dengan patuhi prosedur operasi standard (SOP), kurangkan sentuhan dan memperkasakan pembayaran tanpa tunai,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

Difahamkan bahawa sehingga kini sebanyak 73 inisiatif pintar telah direkodkan dengan 33 inisiatif telah dilaksanakan, inisiatif sedang dilaksanakan (26) dan sedang dalam perancangan (14).

Jagdeep memaklumkan bahawa berdasarkan respons positif berkenaan, Kerajaan Negeri juga menyasarkan untuk menjadi negeri pertama melaksanakan 100 inisiatif pintar menjelang hujung tahun ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak agensi Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin dan berusaha mempermudahkan urusan rakyat melalui perancangan dan pelaksanaan teknologi pintar melibatkan pembayaran secara tanpa tunai bagi kebaikan warga Pulau Pinang keseluruhannya.

“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut, hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini sebuah Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa menjelang tahun 2030 akan menjadi kenyataan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, antara inisiatif pintar lain yang telah dilaksanakan dengan jayanya di Pulau Pinang adalah inisiatif tanpa tunai di pasar-pasar awam seluruh Pulau Pinang dengan penglibatan 1,507 penjaja dengan nilai kutipan RM5.9 juta (301,648 transaksi).

Manakala, aplikasi Penang Smart Parking (PSP) mempunyai seramai 184, 344 pengguna aktif membabitkan RM19.6 juta kutipan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri serta pemasangan 1, 243 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Pulau Pinang yang turut dilengkapi dengan fungsi video analytics.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI