SEBERANG JAYA – Proposal permohonan cadangan (RFP) bagi kerja-kerja menaik taraf, mengurus dan menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya telah dibuka sejak Khamis iaitu 20 Ogos 2020.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa tawaran tersebut adalah terbuka kepada petender-petender yang telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia.
“Tempoh kontrak bagi mengurus dan mengoperasi Kolam Renang Awam Seberang Jaya adalah selama 18 tahun.
“Selain kerja menaik taraf, petender juga perlu menyelenggara kompleks kolam renang seperti melakukan rawatan air secara berkala, menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan bagi peralatan-peralatan yang digunakan serta memastikan perkhidmatan pembersihan di tahap maksimum.
“Tarikh tutup tender adalah pada 18 September 2020 dan kerja-kerja menaik taraf pula dijangka dimulakan pada 1 Januari 2021,” katanya pada sidang media sempena lawatan beliau ke kolam rekreasi awam berkenaan pada 22 Ogos lalu.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Mohamed Akbar Mustapha.
Mengulas lanjut, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal menegaskan bahawa yuran masuk yang dikenakan kepada pengguna iaitu sebanyak RM3 bagi orang dewasa dan kanak-kanak (RM1.50) adalah perlu dikekalkan.
“Sebarang perubahan terhadap yuran masuk yang dikenakan kepada pengguna kolam rekreasi ini perlu merujuk kepada PSDKLPP dan juga pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlebih dahulu.
“Selain itu, penyewaan adalah tertakluk kepada konsep ‘As Is Where Is Basis’ dan segala kos bagi pengurusan, penyelegaraan, bil-bil utility dan lain-lain yang berkaitan adalah di bawah tanggungjawab petender,” ujarnya lagi.
Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf yang perlu dilakukan adalah seperti berikut:
– Pembinaan bumbung jenis ‘high-tensile fabric structure’ di atas kolam renang.
– Pemasangan penapis (filter) dan pam baru yang dapat menampung kapasiti kolam.
– Menaik taraf bangunan dan kemudahan-kemudahan sedia ada seperti tandas, bilik persalinan, surau dan lain-lain yang dirasakan perlu untuk kebaikan pengguna.
– Membina semula kaunter tiket, cafeteria dan kedai peralatan sukan.
– Menaik taraf dan membaiki kolam renang mengikut standard yang boleh digunakan untuk penganjuran acara sukan berprestij.
– Pembinaan astaka atau platform berbumbung untuk tempat duduk pengguna.
– Memastikan binaan atau struktur yang dinaik taraf mematuhi reka bentuk sejagat.
– Memastikan landskap kejur dan lembut sentiasa dalam keadaan kemas.
– Menaik taraf sistem pendawaian elektrik dan elektrikal serta sistem mekanikal secara keseluruhan.
– Menyelenggara tempat letak kereta.
– Lain-lain kerja pembaikan dan kerja-kerja naik taraf yang bersesuaian dari semasa ke semasa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gamba : AHMAD ADIL MUHAMAD