RFP pembangunan tiga bidang tanah SPPP, pemaju dipelawa

Admin

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mempelawa syarikat-syarikat berkelayakan untuk menyertai Proposal Permohonan Cadangan atau Request For Proposal (RFP) bagi pembangunan tanah-tanah milikannya di Tanjung City Marina, Jalan Anson dan  Jalan Chain Ferry, Butterworth.

Pengerusi SPPP, Jeffrey Chew Gim Eam berkata, tender tersebut telahpun dibuka mulai hari ini (1 April) dan akan ditutup pada 11 Disember 2019 bagi Tanjung City Marina dan masing-masingnya 11 Julai 2019 (Jalan Anson dan Jalan Chain Ferry, Butterworth).

“Pembangunan tanah-tanah milikan SPPP berkenaan harus diusahakan bagi memulihkan kembali kawasan terbengkalai ekoran telah sekian lama tidak dapat dimajukan akibat daripada kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“SPPP berharap usaha pembangunan pada kali ini dapat berjalan lancar dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat yang berminat dan juga agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta tempatan,” ujarnya yang baharu dilantik menerajui SPPP berkuat kuasa 27 Februari lalu.

Hadir sama Pengurus Besar SPPP, Monaliza Suhaimi.

Menurut Jeffrey, ketiga-tiga RFP berkenaan adalah secara pajakan selama 30 tahun.

“Keluasan kawasan bagi Tanjung City Marina adalah 227, 238.53 kaki persegi (kp), Jalan Anson (65,771 kp) dan Jalan Chain Ferry (195,600 kp),” ujarnya lanjut.

Dokumen RFP boleh didapati dengan nilai RM1,000 di Aras 2, Swettenham Pier Cruise Terminal mulai 1 April hingga 12 April 2019 (kecuali hari Sabtu, Ahad dan Cuti Am) dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Maklumat lanjut, sila hubungi pegawai bertugas, Nor Affendi Abd. Hamid di talian 04-263 3211.